Pertemuan dengan Great Britain pada aksi final menyaksikan Fiji melakukan lima percubaan di separuh masa pertama, sebelum menambah dua lagi percubaan dengan mendapatkan kemenangan 43-7 dalam acara yang pertama kali dipertandingkan dalam Olimpik.
Ketua pasukan Fiji, Osea Kolinisau, Jerry Tuwai, Jasa Veremalua, Leone Nakarawa, Vatemo Ravouvou, Josua Tuisova dan Viliame Mata, kesemua mereka berjaya melengkapkan percubaan masing-masing bagi meraih pingat pertama negara itu dalam penampilan ke-14 di Sukan Olimpik.
Setelah tamatnya perlawanan tersebut, ramai pemain Fiji yang tidak dapat menahan tangisan kegembiraan sambil berkumpul dalam bulatan di garisan tengah padang dan menyanyi sesama mereka.
“Kami mahu menunjukkan kepada semua orang cara kami bermain, iaitu cara Fiji. Kami bernasib baik dapat melakukannya dengan cara yang amat bergaya,” kata jurulatih Fiji, Ben Ryan.