Mata peminat sukan dunia pagi ini sudah pasti kepada pelari pecut Jamaica yang juga pemegang rekod dunia acara 100 meter, Usain Bolt yang akan turun mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dalam dua temasya berturut-turut sebelum ini.

Beraksi buat kali terakhir untuk Jamaica dalam temasya sukan paling berprestij di dunia ini, tentunya atlet tinggi lampai berusia 29 tahun itu mahu menutup kariernya dengan kejayaan hatrik dan sempurna dalam tempoh sedekad ini.

Namun untuk memahat namanya sebagai legenda, Bolt perlu melakukan sesuatu yang istimewa kali ini, bukan hanya dengan memenanginya sahaja malah jika boleh memecahkan sekali rekod dunia 9.58 saat yang diciptanya dalam kejohanan dunia 2009 di Berlin, Jerman.

Itu rasanya sudah cukup untuk meletakkannya sebagai atlet yang akan diingati sampai bila-bila. Bagaimanapun Bolt menyedari untuk melakukannya bukanlah tugas yang mudah kali ini kerana berada di kiri dan kanannya adalah barisan pencabar yang tidak kurang hebatnya.

Pencabar utama yang disebut-sebut mampu menyekat impian terakhirnya itu adalah atlet Amerika Syarikat (AS), Justin Gatlin yang mengungguli catatan masa terpantas di peringkat saringan iaitu 10.01 saat(s) dan merupakan atlet yang mencatat masa paling pantas tahun ini iaitu 9.80s.

Bolt hanya mencatat masa 10.07s untuk berada di kedudukan keempat terpantas di belakang Gatlin, Ben Youssef Meite (10.03s) dari Ivory Coast dan Andre de Grasse (10.04s) dari Kanada di peringkat saringan.

Namun catatan masa itu sebenarnya tidak boleh diambil kira kerana masing-masing sudah pasti masih menyembunyikan kekuatan sebenar yang mungkin akan dipamerkan sedikit demi sedikit dalam saingan separuh akhir dan akhir pagi ini.

Pertembungan yang dianggap terbesar ini dijangka bakal turut menyaksikan tentangan daripada pencabar-pencabar lain yang dilihat mampu memberikan saingan seperti Kim Collins (St Kitts and Nevis), Yohan Blake (Jamaica), Trayvon Bromell (AS), Jak Ali Harvey (Turki) dan Jimmy Vicaut (Perancis). Wakil Asia juga tidak boleh diketepikan seperti Xie Zhenye (China) dan Aska Cambridge (Jepun).

Yang pasti, siapa jua raja pecut Sukan Olimpik kali ini, Bolt adalah pelari yang perlu disekat dan ditewaskan.