Biarpun kalah dalam set pembukaan, namun pasangan No. 12 dunia itu bangkit dengan persembahan meyakinkan untuk menang 17-21, 21-18, 21-19 dalam pertarungan sengit yang berlangsung selama satu jam, 30 minit.
Kemenangan mengejut itu meletakkan V Shem-Wee Kiong di landasan terbaik untuk meraih pingat, namun laluan ke final tidak mudah kerana menanti mereka pada separuh akhir adalah beregu No. 5 dunia, Chai Biao-Hong Wei dari China.
Ini adalah kejutan kedua dilakar beregu lelaki negara itu di Rio selepas menumpaskan pasangan No. 4 dunia, Fu Haifeng-Zhang Nang pada peringkat kumpulan.
Peluang V Shem-Wee Kiong dan Biao-Hong Wei dilihat seimbang kerana mereka berkongsi rekod pertemuan 3-3.
Pasangan negara itu kalah dalam pertemuan terakhir pada Terbuka Indonesia, Jun lalu, tetapi menang di All England pada Mac.
“Boleh ‘makan’ beregu China atau tidak, kami tidak mahu fikir sekarang, yang penting kita memang bersiap sedia sepenuhnya untuk bertemu sesiapa sahaja.
“Apabila mereka juga layak ke separuh akhir, itu bermakna mereka dalam prestasi yang terbaik , kami kena betul-betul bersedia,” kata Wee Kiong, yang mencatat kemenangan kedua daripada tujuh pertemuan dengan Yong Dae-Yeon Seong.
Satu lagi saingan separuh akhir beregu lelaki menemukan Haifeng-Zhang Nang dan pasangan No. 22 dunia dari England, Marcus Ellis-Chris Langridge.
Ketika pasangan lelaki memberi kegembiraan, nasib berbeza dialami beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei.
Meskipun berjaya mengheret permainan ke set penentuan, namun ketangkasan beregu No.1 dunia dari Jepun, Misaki Matsumoto-Ayaka Takahashi menyebabkan mereka akur 16-21, 21-18, 9-12 dalam masa 76 minit.
Vivian memberitahu, mereka sudah mengerah segala keringat dalam set pertama dan kedua tetapi kehilangan fokus di set penentuan.
Aksi set ketiga menyaksikan Matsutomo-Takahashi mempamer aksi agresif dan sering memerangkap Khe Wei.
“Permulaan set penentuan, kami hilang fokus dan lawan mengambil kesempatan dengan bermain secara agresif.
“Dari situlah kami ketinggalan jauh dan tidak berdaya lagi untuk mengejar,” kata Vivian yang gagal menewaskan beregu Jepun itu dalam lapan pertemuan.
Bagaimanapun, Vivian tetap berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan sepanjang di Rio sambil menyifatkan terdapat peningkatan ketara dalam permainan mereka selepas berjaya mencuri satu set kemenangan pada pertemuan itu.