Chong Wei menepati ramalan apabila mudah melangkah ke separuh akhir dengan mengetepikan pencabar dari Taiwan, Chou Tien Chen 21-9, 21-15, namun Lin Dan juga melepasi halangannya biarpun cemas seketika sebelum menyingkirkan K. Srikanth dari India 21-6, 11-21, 21-18.
Kemenangan dua jagoan dunia itu sekali gus bakal menemukan mereka buat kali ke-37, di mana Lin Dan memenangi 25 pertemuan sebelum ini tetapi Chong Wei menumpaskan jaguh China itu dalam dua perlawanan terakhir.
“Saya lebih menikmati temasya kali ini, bagi saya kalau kalah kena terima sebab lawan bermain dengan lebih bagus tetapi kalau kalah kali ini memang rugi kerana ini penampilan Olimpik terakhir saya.
“Saya akan gunakan waktu rehat sehari esok untuk mempersiapkan mental di samping berlatih seperti biasa untuk separuh akhir,” kata Chong Wei, yang enggan terlalu memikirkan mengenai pertemuan dengan Lin Dan.
Dalam pertemuan pertama mereka dalam final Olimpik di Beijing 2008, Chong Wei langsung tidak terdaya untuk ‘melawan’ Lin Dan apabila kalah mudah 12-21, 8-2.
Namun, dalam pertemuan kedua di London, empat tahun lalu, aksi Chong Wei lebih baik, biarpun pada akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan 21-15, 10-21, 19-21.
Chong Wei bagaimanapun memegang kelebihan psikologi ke atas juara dunia lima kali itu selepas memenangi pertemuan terakhir mereka pada Kejohanan Asia, April lalu (22-20, 15-21, 21-4), selain Terbuka China November, 2015 (17-21, 21-19, 21-19).
Sementara itu, Chong Wei mengakui, kejayaan pasangan beregu lelaki dan campuran melangkah ke final menjadi motivasi buatnya untuk menghadiahkan pingat emas buat Malaysia.
Jelasnya, dia berbangga dengan pencapaian Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan semakin bersemangat.