Selepas melakar kejutan dengan menjadi pasangan beregu campuran pertama layak ke pentas final Sukan Olimpik, nasib nyata tidak menyebelahi Peng Soon-Liu Ying selepas tewas 14-21, 12-21 kepada pasangan No.3 dunia dari Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir.
Hanya linangan air mata kekecewaan terbit dari wajah pasangan negara itu selepas mereka gagal membawa pulang pingat emas yang menjadi impian seluruh rakyat Malaysia sejak 60 tahun lalu.
Bagaimanapun, sejarah tetap tercipta apabila Peng Soon-Liu Ying menjadi satu-satunya pasangan dari Malaysia yang berjaya menyumbang pingat perak menerusi acara beregu campuran di temasya sukan berprestij itu.
Pujian seharusnya diberikan kepada pasangan itu terutama Liu Ying yang berjaya kembali berada di prestasi terbaiknya selepas melakukan pembedahan ke atas kecederaan ‘miniscus’ lutut kanan dan tisu koyak pada ACL di kedua-dua belah lututnya.
Pelbagai rawatan dilakukan bagi memulihkan kecederaan itu termasuk melakukan rawatan alternatif di Kelantan dengan bantuan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff.
Liu Ying dan Peng Soon sebelum ini dianggap prospek Malaysia dalam acara beregu campuran, malah pernah menghuni ranking ketiga dunia. Namun, kecederaan yang dialami sejak beberapa tahun lalu menyebabkan karier pemain itu menjadi tidak menentu.
Namun segala-galanya berubah selepas dia melakukan pembedahan dan Liu Ying kembali bersaing secara kompetitif pada penghujung 2014 selepas berehat panjang bagi merealisasikan impiannya beraksi di temasya sukan terulung dunia itu.
“Terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana bagi sokongan kuat kepada beregu negara walaupun mereka tidak berjaya memenangi emas Olimpik.
“Bagaimanapn saya sangat gembira kerana mereka berjaya cipta sejarah kepada Malaysia. Saya bangga dengan pencapaian anak saya dan saya yakin rakyat Malaysia juga begitu,” kata bapa Liu Ying, Goh Chak Wee.