Penolong Pengurus pasukan Kedah Shafarizan Baderon berkata, kemenangan mata penuh ke atas pasukan Sarawak bukannya mudah untuk dicapai sekaligus membolehkan Kedah muncul juara kumpulan A untuk mara ke suku akhir saingan.

“Isya-Allah kita akan membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Kedah untuk dihadiahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang merupakan peminat nombor satu pasukan bola sepak negeri Kedah.

“Ia juga untuk Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selaku presiden Persatuan Bolasepak Kedah yang sentiasa membantu kami,” katanya kepada pemberita selepas Kedah menang 3-0 ke atas Sarawak dalam perlawanan terakhir Kumpulan A di Stadium Negeri di Petra Jaya, di sini malam tadi.

Kali terakhir Kedah muncul juara Piala Malaysia ialah pada tahun 2008.

Katanya, pasukan Kedah akan bertandang ke Stadium Paroi Negeri Sembilan pada 27 Ogos ini untuk aksi suku akhir dan 17 September di Alor Setar untuk perlawanan timbal balik.

Mengulas perlawanan malam tadi, Shafarizan berkata, beliau sangat berpuas hati dengan persembahan pemain di bawah bimbingan ketua jurulatih Tan Cheng Ho.

Ketiga-tiga gol Kedah dijaringkan pada separuh masa kedua.