Turun sebagai beregu ke-12 dunia, V Shem-Wee Kiong gagal mengulangi kemenangan 16-21, 21-15, 21-18 ke atas Haifeng-Zhang Nan yang merupakan beregu No. 4 dunia di peringkat kumpulan sebelum ini.

Biar pun usaha bersungguh-sungguh telah dilakukan pasangan negara itu untuk menyaingi lawan mereka namun kelemahan dengan kerap melakukan kesilapan sendiri menjadi punca kekalahan.

Dengan kegagalan itu, V Shem-Wee Kiong hanya mampu mengulangi dan mengikut jejak pencapaian pasangan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock yang meraih perak beregu lelaki dalam temasya 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat.

Kini tugas meraih pingat emas pertama Olimpik diletakkan di bahu Datuk Lee Chong Wei yang berjaya layak ke final perseorangan lelaki selepas menewaskan Lin Dan di separuh akhir hari ini.

Sama ada Chong Wei berjaya atau tidak menewaskan Chen Long dalam final malam esok (malam ini), ia akan tetap menjadi pencapaian terbaik kontinjen negara dalam sejarah penyertaan di Sukan Olimpik kerana setakat ini telah meraih tiga perak dan satu gangsa.

Dua daripada tiga pingat perak tersebut diperoleh dalam acara badminton menerusi V Shem-Wee Kiong (beregu lelaki) dan pasangan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) manakala satu lagi perak disumbangkan oleh gandingan Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong dalam acara 10 meter platform terjun seirama wanita.

Satu-satunya pingat gangsa pula disumbang Azizulhasni Awang dalam acara berbasikal keirin lelaki.

Dalam temasya di London pada 2012, kontinjen negara membawa pulang satu perak menerusi Chong Wei dan satu gangsa menerusi Pandelela. Di Beijing 2008, hanya Chong Wei berjaya menjadi penyumbang tunggal perak manakala di Atlanta 1996, satu perak (Soon Kit-Kim Hock) dan satu gangsa (Rashid Sidek) berjaya dibawa pulang selepas Razif-Jalani Sidek meraih pingat pertama Olimpik iaitu gangsa pada temasya 1992 di Barcelona.

Malaysia kali pertama 
menyertai Sukan Olimpik ialah pada 1956 di Melbourne, 
Australia.