Chong Wei pernah ke final acara badminton perseorangan lelaki sebanyak dua kali sebelum ini, kedua-duanya dikecewakan oleh Lin Dan, di Beijing pada 2008 dan di London empat tahun kemudian.
Namun, dalam pertemuan ketiga mereka dalam Sukan Olimpik di sini hari ini menyaksikan Chong Wei bangkit daripada kekalahan mudah di set pertama untuk menghapuskan badi Lin Dan di separuh akhir dengan kemenangan 15-21, 21-11, 22-20 dalam masa 83 minit.
Kini dia perlu menumpaskan seorang lagi pemain China, Chen Long yang menumpaskan Viktor Axelsen dari Denmark 21-14, 21-15 dalam satu lagi separuh akhir.
Perlawanan akhir akan berlangsung esok dan Chong Wei ‘wajib’ menang ke atas pemain No.2 dunia itu atau dia akan kempunan pingat emas kerana ini adalah Sukan Olimpik terakhir untuk pemain berusia 34 tahun itu.
Perlawanan separuh akhir dengan Lin Dan yang ibarat ‘final’ itu menyaksikan kekentalan mental dan semangat juang Chong Wei untuk bangkit dalam set kedua dengan kemenangan 21-11 selepas tewas dalam set pertama untuk mengheret Lin Dan ke set penentuan.
Dalam set penentuan yang amat mendebarkan, kedua-dua pemain cukup liat apabila bergilir-gilir mengikat lawan masing-masing dengan pungutan mata yang sama sebanyak 11 kali.
Bagaimanapun Chong Wei berjaya meleraikan ikatan itu dan seterusnya memungut satu demi satu mata untuk mendahului 20-17 namun Lin Dan juga memberikan aksi terbaiknya untuk sekali lagi mengikat mata 20-20 untuk dius sebelum Chong We mengorak langkah melunaskan dendamnya kepada Lin Dan dengan kemenangan 22-20.
Kemenangan Chong Wei itu membolehkan kontinjen Malaysia menempah sekurang-kurangnya pingat perak sekali gus mengukuhkan pencapaian terbaik negara dalam temasya terbesar dunia ini.
Ditemui selepas perlawanan itu, Chong Wei berkata kejayaan layak ke final adalah salah satu keajaiban yang berlaku selepas teruji dengan penggantungan lapan bulan akibat doping sebelum berjaya kembali ke ranking No. 1 dunia daripada kedudukan ke-182 dan layak ke Olimpik Rio sebagai pilihan utama.
“Sewaktu mendahului 20-17, saya berdoa supaya apa yang berlaku dalam Olimpik London tidak berulang di mana saya sudah berjaya mendahului namun dikejar Lin Dan sehingga kalah.
“Apabila pungutan mata terikat 20-20, saya memang tidak fikir apa-apa lagi dan mempersiapkan mental kalau saya kalah itu adalah takdir tuhan dan saya tak boleh buat apa. Apa yang saya buat masa itu hanyalah meneruskan perjuangan,” katanya.
Dalam pertemuan pertama mereka dalam final Olimpik di Beijing 2008, Chong Wei langsung tidak terdaya untuk ‘melawan’ Lin Dan apabila kalah mudah 12-21 pada set pertama dan kemudian menarik diri daripada set kedua ketika kedudukan 8-2 kerana cedera.
Namun, dalam pertemuan kedua di London, empat tahun lalu, aksi Chong Wei lebih baik, biarpun pada akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan 21-15, 10-21, 19-21.
Chong Wei bagaimanapun memegang kelebihan psikologi ke atas juara dunia lima kali itu selepas memenangi pertemuan terakhir mereka dalam Kejohanan Asia, April lalu (22-20, 15-21, 21-4), selain Terbuka China November, 2015 (17-21, 21-19, 21-19).