Kekalahan 18-21, 18-21 kepada jaguh China, Chen Long dalam perlawanan akhir di sini, hari ini menutup perjalanan pemain No. 1 dunia itu di pentas Olimpik, perjalanan yang penuh dengan warna warni, jatuh dan bangkit.
Biarpun rakyat Malaysia belum dapat merasai nikmat emas Olimpik selepas 60 tahun iaitu sejak kali pertama negara menyertai temasya sukan terbesar dunia itu di Melbourne 1956, namun sumbangan tiga perak yang dihadiahkan Chong Wei berhak diberi ucapan terima kasih.
Malah, pingat terakhir yang disumbang Chong Wei memastikan Malaysia menutup kempen di Rio dengan pencapaian terbaik dalam sejarah iaitu empat perak dan satu gangsa.
Dikecewakan dua kali oleh musuh tradisi, Lin Dan dalam final di Beijing 2008 dan London 2012, Chong Wei bagaimanapun melunaskan dendam terhadap jaguh China itu dalam pertemuan terakhir mereka semalam.
“Saya tahu 30 juta rakyat Malaysia memang kecewa. Saya rasa bersalah namun saya sudah cuba yang terbaik kerana ini adalah Olimpik terakhir saya.
“Apa yang yang saya ada, apa yang saya buat masa latihan saya sudah berikan segala-galanya. Semua orang boleh tengok bagaimana Chen Long beraksi sangat baik,” kata Chong Wei sejurus tamat permainan.
Jika diingati balik perjalanan yang terpaksa ditempoh Chong Wei untuk mencari tiket Olimpik, jelas ia tidak mudah. Dia pernah hilang takhta No. 1 dunia akibat penggantungan selepas positif doping pada November 2014.
Dia digantung daripada bertanding dalam perlawanan kompetitif lapan bulan sejak 30 Ogos 2014 oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Hukuman itu menyebabkan Chong Wei jatuh ke kedudukan paling teruknya dalam ranking dunia iaitu ke-180.
Namun hari ini, Chong Wei berdiri di pentas akhir Olimpik. Dia mungkin gagal memenangi emas, tetapi berjaya memenangi hati jutaan rakyat Malaysia.