Namun tidak seorang pun daripada Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mampu menggapainya apabila masing-masing tewas dalam perlawanan akhir untuk mengutip perak.
Begitu pun, Olimpik edisi ke-31 ini menyaksikan pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah penyertaannya apabila turut membawa pulang satu pingat perak dari acara akuatik menerusi Pandelela Rinong Pamg dan Cheong Jun Hoong dalam acara platform 10m seirama.
Pandelela bagaimanapun gagal mengekalkan pingat gangsa acara individu yang dimenanginya di London empat tahun lalu.
Azizulhasni Awang, yang berlatih selama lapan tahun sambil melanjutkan pelajaran di Melbourne, Australia, juga mencipta sejarah apabila memenangi pingat gangsa dalam acara berbasikal keirin.
Dari satu sudut, kontinjen negara kelihatannya telah meningkatkan pencapaian mereka tetapi jika diselami lebih mendalam kita akan mendapati bahawa pingat emas masih jauh daripada jangkauan sedangkan temasya di Rio ini dianggap sebagai peluang terbaik untuk kita mempunyai sekurang-kurangnya seorang juara Olimpik.
Rasa terkilan gagal mendapat emas Olimpik pertama ini dapat dirasakan dalam nada suara Ketua Kontinjen Malaysia, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid apabila Bernama melaporkan beliau berkata selepas kekalahan Chong Wei kepada Chen Long dalam perlawanan akhir: “Emas masih menjadi impian”.
Jiran kita iaitu Indonesia dan Singapura, malah Vietnam telah membawa pulang satu pingat emas ke negara masing-masing, Thailand lebih hebat dengan dua pingat yang amat berprestij itu.
Perenang Joseph Schooling meraih pingat emas Olimpik pertama untuk Singapura apabila menjuarai acara kuak kuku-kupu 100m, malah mengatasi kehebatan dan memecahkan rekod perenang terkemuka Amerika Syarikat, Michael Phelps.
Perenang berusia 21 tahun itu mengatasi rekod Phelps, 50.58s, yang dicatat dalam Olimpik Beijing 2008, dengan catatan terbaru 50.39s.
Secara keseluruhannya, kontinjen Malaysia menghantar 32 atlet ke bandar raya di Brazil ini dengan harapan tinggi turut diletakkan kepada kem memanah yang menampilkan prestasi yang tentunya mahu dilupakan oleh tri recurve Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Muhammad Akmal Nor Hasrin sendiri.
Atlet lompat tinggi Nauraj Singh Randhawa juga gagal melayakkan diri ke pusingan akhir apabila hanya melompat setinggi 2.26m, di bawah rekod kebangsaannya 2.29m.
Empat tahun lagi Olimpik akan berlangsung di Tokyo dengan Malaysia akan bersaing tanpa Chong Wei, yang kini berusia 33 tahun, manakala Azizulhasni semakin meningkat usia walaupun dia bertekad untuk meneruskan pemburuan pingat.
Oleh itu, Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebenarnya tidak mempunyai masa untuk meraikan pencapaian di Rio ini. Bukan sahaja perancangan perlu dilakukan sekarang tetapi pelaksanaan perancangan itu juga ‘wajib’ disegerakan. Empat tahun bukan satu tempoh yang lama.
Hanya ingat satu perkara, orang hanya akan mengingati JUARA.