Masih segar dengan kemenangan ke atas Arsenal dalam aksi pembukaan Liga Perdana pada 14 Ogos lalu, skuad The Reds bagaimanapun gagal mengulangi skrip sama biarpun mendominasi hampir 80 peratus penguasaan bola ketika tumpas di tangan Burnley, Sabtu lalu.
Kegagalan melayakkan diri ke pentas Eropah musim ini menyaksikan juara lapan kali Piala Liga, Liverpool terpaksa beraksi awal apabila diundi menentang Burton di pusingan kedua kejohanan tersebut.
“Sudah tentu kami menghormati pasukan lawan. Bukan masanya untuk saya merehatkan beberapa pemain. Kami tidak akan membuat pertukaran tujuh atau lapan pemain.
“Kami perlu membuktikan bahawa kami mahu berada di dalam pertandingan ini. Kami mahu menghormati permainan ini dan akan bekerja keras,” kata Klopp, yang menyaksikan skuad kendaliannya itu tewas pada aksi final Piala Liga di Wembley musim lalu.
Tambah Klopp, dia masih terbayangkan kekalahan di tangan Burnley, namun menegaskan dia akan bertindak segera untuk memperbaiki kelemahan.