Kata Irfan, hanya Felda mampu mencabar kedudukan JDT selaku pendahulu liga dan kemenangan di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka akan membuka laluan buat mereka merampas takhta.

“Saya tengok JDT tidak me­nurunkan kesebelasan utama ketika menentang PKNS dalam aksi Piala Malaysia dan kami juga me­lakukan perkara yang sama ketika bertemu Negeri Sembilan.

“Itu semua dibuat bagi meng­hadapi perlawanan esok. Saya yakin kami tidak mudah untuk ditewaskan di laman sendiri, namun saya tetap menghormati JDT kerana mereka pasukan yang mantap di segenap posisi.

“Ini mungkin perlawanan biasa liga tetapi saya beritahu pemain bahawa ia ibarat final,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Berdepan JDT, Felda tidak dapat menurunkan bintang tengah, Christie Jayaseelan akibat kece­deraan, begitu juga pemain import dari Uzbekistan, Lutfulla Turaev.

“Christie tidak boleh beraksi akibat kecederaan kepala ketika menentang Negeri Sembilan dan Turaev kena rehat dua atau tiga minggu sebelum boleh kembali beraksi.

“Tempat Christie akan digantikan dengan (Ahmad) Syamim (Yahya) atau Hadin (Azman) dan beberapa perubahan posisi turut dilakukan.

“Bagi saya situasi ini tidak menjejaskan pasukan dan kami turun untuk mencari kemenangan,” katanya lagi.