Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perjalanan untuk menuju ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 harus bermula dari sekarang dalam memburu pingat emas.
“Kepada semua 32 atlet yang mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Rio 2016, syabas atas pencapaian anda yang bukan sahaja mengharumkan nama negara kita di persada antarabangsa, malah berjaya menyatupadukan lebih 30 juta rakyat Malaysia. Jangan ada yang kecewa, jangan ada yang sedih dengan apa jua pencapaian di Rio dan pulanglah ke tanah air dengan perasaan yang bangga, anda semua wira di hati kami.
“Kini, masanya untuk kita semua gandakan usaha. Atlet-atlet muda Malaysia harus fokus dalam membina potensi yang ada. Barisan atlet pelapis ini perlu bersedia dengan latihan dan disiplin diri yang cemerlang dan jadikan kisah atlet kita di Olimpik Rio sebagai pengajaran dan galakan untuk membakar semangat anda bagi melakukan yang lebih baik lagi,” katanya dalam laman blog NajibRazak.Com hari ini.
Sementara itu, Perdana Menteri turut berkongsi semangat luar biasa yang ditunjukkan rakyat Malaysia untuk menyokong atlet negara sepanjang Kejohanan Sukan Olimpik tersebut berlangsung.
“Ketika saya berada di Dataran Putrajaya pada Sabtu lalu bagi menyaksikan perlawanan akhir badminton antara Datuk Lee Chong Wei dan Chen Long, saya dapat rasakan satu semangat luar biasa daripada rakyat Malaysia.
“Mungkin belum sampai masanya lagi untuk kita melihat kilauan emas, tetapi apa yang saya saksikan menyentuh hati saya. Seluruh negara bersatu memberi sokongan dan harapan untuk melihat pingat emas pertama Olimpik dibawa pulang ke tanah air. Walaupun lagu Negaraku tidak berkumandang di podium, namun sorakan seluruh negara bergema ke bumi Rio,” jelasnya.
Beliau menambah, Sukan Olimpik Rio 2016 juga mencatatkan pencapaian terbaik Malaysia setakat ini apabila lima pingat yang dibawa pulang Chong Wei, Goh V. Shem, Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon, Goh Liu Ying, Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong dan Azizulhasni Awang adalah hasil keazaman dan kedahagaan untuk mengecapi kejayaan sepanjang karier mereka.