Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegaskan, kejayaan membawa pulang empat pingat perak dan satu gangsa daripada temasya Rio bukan sekadar mencatat sejarah, tetapi lebih daripada itu mampu menjadi pembuka jalan untuk Malaysia mencipta lebih banyak sejarah pada masa akan datang.

“Bagi kami, bajet untuk pembangunan sukan bukan satu masalah, namun kami berharap (dengan kejayaan cemerlang di Rio) lebih banyak pihak swasta akan tampil memberikan soko­ngan khususnya kepada persatuan-persatuan sukan selepas melihat kegemilangan atlet negara.

“Sebagai contoh Azizul, dia merupakan pelaburan yang baik, dia berjaya membawa pulang pi­ngat dalam acara Keirin dan menjadi satu-satunya atlet Asia yang ‘paling tinggi’ untuk menang acara yang dimonopoli negara Eropah,” kata Khairy dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Atlet Sukan Olimpik Malaysia di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Menurut Khairy, walaupun misi memburu emas masih gagal terlaksana selepas 60 tahun Malaysia menyertai temasya sukan terbesar dunia itu, namun beliau berpuas hati dengan pencapaian yang diraih kontinjen Malaysia di Rio sambil menyifatkannya sebagai keputusan terbaik dalam sejarah.

Beliau berkata, pencapaian lima pingat dalam temasya sukan berprestij itu merupakan peningkatan luar biasa dengan tiga sukan menjadi penyumbang iaitu badminton, berbasikal dan terjun.

Katanya, prestasi di temasya Rio merupakan petanda positif bahawa Malaysia mampu memberikan saingan kepada negara-negara lain di persada sukan utama dunia itu meskipun masih belum mampu membawa pulang pingat emas.

“Ini merupakan pencapaian terbaik dalam sejarah, sebelum ini secara keseluruhan kita hanya ada enam pingat sahaja tetapi kali ini kita berjaya meraih lima pi­ngat.

“Sebanyak 32 atlet negara bertanding dan secara peratusannya, 25 peratus atlet kita berjaya membawa pulang pingat dan jumlah itu adalah tinggi,” katanya lagi.

Olimpik Rio yang melabuhkan tirainya Ahad lalu menyaksikan Malaysia berjaya meraih empat pingat perak menerusi Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong, selain Azizulhasni Awang menyumbang satu pingat gangsa.