Kecemerlangan yang ditampilkan mereka di Rio diharap dapat dikekalkan untuk mendepani pertandinagn pada masa akan datang termasuk menamatkan kemarau kejuaraan dalam kejohanan bertaraf Siri Super dan Siri Super Premier.

Wee Kiong berkata, mereka sememangnya bercita-cita untuk menjadi pasangan No.1 dunia tetapi menyedari laluan yang bakal ditempuh bukan mudah tambahan kebanyakan beregu handalan dunia berada di stan­dard yang hampir sama.

“Buat masa sekarang, kami mahu berada dalam kelompok lima terbaik secepat mungkin tetapi bukan senang untuk menang kerana ramai pasangan memiliki kualiti permainan yang hampir sama.

“Dari dulu sampai sekarang kita memang mahu menang Siri Super sebab kami tidak pernah menang.

“Kami akan terus bekerja keras untuk menjadi pasangan No.1 dunia, kalau boleh, esok kami mahu jadi No.1 dunia…tetapi perkara ini tidak boleh dibuat tergesa-gesa, perlu ada perancangan teliti,” katanya selepas Majlis Penyerahan Insentif Pemenang Pingat O­limpik XOX Mobile, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, syarikat te­lekomunikasi XOX Mobile menyerahkan instentif wang tunai berjumlah RM315,000 kepada barisan pemenang pingat negara termasuk Datuk Lee Chong Wei, V Shem-Wee Kiong, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong dan Azizulhasni Awang.

Azizulhasni dan Peng Soon-Liu Ying bagaimanapun tidak menghadiri majlis itu kerana mempu­nyai urusan lain.

Mengulas mengenai penyertaan kejohanan selepas ini, Wee Kiong memberitahu mereka akan kembali menjalani latihan bermula Khamis depan sebelum menyertai Siri Super Terbuka Jepun pada pertengahan bulan September.

“Sukan Olimpik sudah habis, jadi sekarang kami perlu buka buku baharu untuk kejohanan-kejohanan akan datang dan perlu berusaha mengekalkan tahap permainan konsisten bagi meraih lebih banyak kejuaraan.

“Bukan bermaksud pingat Sukan Olimpik tidak penting, ia penting sebagai pembakar semangat untuk kami lebih berjaya dalam kejohanan akan datang,” katanya.