Ganjaran itu diberikan kerajaan negeri Sabah iaitu RM55,000, manakala baki RM45,000 adalah sumbangan pihak swasta.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menyampaikan insentif tersebut di kediaman rasminya di Sri Gaya, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan; Pengerusi Persatuan Badminton Sabah, Janih Bangud dan bapa Tan Wee Kiong, Tan Chen Swee.
Pada Sukan Olimpik Rio, Wee Kiong dan pasangannya Goh V Shem meraih pingat perak selepas tewas kepada pasangan China, Fu Haifeng-Zhang Nan dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit.
Wee Kiong, 27, berasal dari Johor, namun keluarganya menetap di Tawau sejak 15 tahun lalu dan mengendalikan Akademi Badminton Tawau bagi melahirkan jaguh sukan berkenaan.
Wee Kiong mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri di atas pemberian insentif tersebut selain kesudian ketua menteri meluangkan masa bertemu dengannya.
“Saya akan menggunakan wang ganjaran ini sebaik mungkin termasuk menyumbang kepada pembangunan badminton di akademi badminton yang diusahakan bersama bapa dan adik di Tawau,” katanya.
Malah katanya, kejayaan meraih perak di Rio meningkatkan keyakinannya dan V Shem untuk beroleh kemenangan pada Terbuka Jepun, bulan depan.
Sementara itu, Musa berkata, pemberian insentif tersebut merupakan penghargaan kerajaan negeri di atas kejayaan Wee Kiong mengharumkan nama negara serta Sabah di peringkat dunia.