Mendakwa dia tahu siapa individu itu, bintang bola sepak era 70 dan 80-an itu bagaimanapun enggan mendedahkan nama nya sebaliknya menyerahkan kepada FAM untuk mengambil tindakan selanjutnya.
“Itu awak (media) kena tanya Datuk Hamidin (Mohd. Amin, Setiausaha Agung). Saya fikir FAM akan ambil tindakan untuk mendedahkan siapakah yang membocorkan maklumat mengenai badan induk tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Khalid menegaskan sekiranya FAM tidak mendedahkan nama individu berkenaan maka dia tidak teragak-agak untuk memberitahu pembocor maklumat tersebut kepada umum.
“Jika FAM tidak dedahkan saya tiada masalah untuk memberitahu siapa pembocor maklumat itu. Individu tersebut mungkin dari kalangan pengurusan teknikal tertinggi FAM. Individu tersebut juga bersama orang luar maksud saya bergaul dengan orang berpengaruh dalam bola sepak tempatan.
“Lagi satu, individu itu juga bersekongkol dengan salah seorang jurulatih yang tidak bekerja dengan FAM,” dakwanya lagi.
Sebelum ini, Khalid mendakwa dia dan FAM tahu siapa dalang yang membocorkan maklumat mengenai badan induk tersebut.
Arena bola sepak tempatan sebelum ini kecoh dengan isu pemacu pena yang didakwa mengandungi pelbagai maklumat mengenai ketirisan dan salah laku badan induk bola sepak negara seperti didakwa oleh pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Namun, isi kandungan pemacu pena itu kemudian didapati hanya mengandungi maklumat teknikal dan perancangan pembangunan bola sepak negara seperti yang disahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut memaklumkan bahawa laporan dalam alat peranti itu bebas daripada sebarang unsur rasuah.