Melaka United mengiringi kejayaan JDT apabila muncul juara Liga Perdana selepas seri dengan JDT II.
Kejayaan itu dilakar JDT setelah menundukkan Terengganu 3-0 dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini malam tadi.
Gol pertama JDT dijaringkan pemain import, Pereyra Diaz sebelum kapten Harimau Selatan, Safiq Rahim menyumbat gol kedua, kedua-duanya menerusi sepakan penalti.
Ayam tambatan JDT, Diaz sekali lagi menjaringkan gol pada minit-minit akhir permainan menjadikan keputusan 3-0.
Kemenangan itu membolehkan JDT mengesahkan kejuaraan lebih awal setelah mengumpul 52 mata dengan berbaki dua perlawanan menentang T-Team dan Selangor.
Penghuni anak tangga kedua Felda United yang mengumpul 42 mata manakala Selangor (28 mata) di tempat ketiga tidak dapat memintas Harimau Selatan walaupun masing-masing masih berbaki tiga perlawanan.
Pencapaian itu sekali gus mengetepikan kejayaan yang dilakar tiga pasukan yang mencatat kemenangan liga berganda berturut-turut sebelum ini iaitu Kedah pada tahun 2007 dan 2008, Selangor (2009 dan 2010) serta Kelantan (2011 dan 2012).
Perlawanan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan memulakan asakan awal sebelum JDT dilihat lebih mendominasi bahagian serangan.
Gol pertama tuan rumah diperoleh pada minit ke-28 apabila Diaz menewaskan penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee menerusi sepakan penalti.
Sharbinee sekali lagi tewas melalui penalti pada minit ke-82 apabila gagal menepis jaringan Safiq selepas Diaz dijatuhkan oleh penjaga gol itu.
Derita pasukan pelawat berterusan apabila Diaz menyumbat gol peribadi kedua dan gol ketiga JDT pada minit ke-85 selepas menerima hantaran daripada Azammuddin Akil.
Sementara itu, pendatang baharu Liga Perdana, Melaka United turut mengesahkan kejuaraan mereka lebih awal biarpun terikat 1-1 ketika menentang JDT II di Stadium Hang Jebat, Melaka.
Skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan penyerang dari Palestin, Yashir Pinto pada minit ke-71 dan ketika kemenangan seakan-akan berpihak kepada Melaka United, pertahanan JDT II, Rafael Bonfim menyamakan kedudukan pada minit ke-91.
Dalam pada itu, Kuala Lumpur tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang manakala PKNS FC menang tipis 1-0 ke atas ATM di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.
Perlis menang 2-1 ke atas Sime Darby di Stadium Tuanku Syed Putra Kangar manakala DRB-Hicom terikat 2-2 dengan Sabah di Stadium Proton manakala Kuantan FA seri 1-1 dengan UiTM.