Dua jaringan bintang Brazil, Roberto Firmino dan gol menerusi Sadio Mane serta Adam Lallana memastikan kebangkitan Reds, yang memulakan kempen musim baharu dengan langkah tidak menentu apabila menang, kalah dan seri dalam tiga perlawanan pertama.

“Kami menunjukkan prestasi memberangsangkan sepanjang 90 minit. Saya fikir kami memberi cabaran yang sangat baik dan pasukan ini benar-benar kuat.

“Kalau permainan kami tidak menjadi, kami tetap percaya bahawa kami masih mampu mencabar. Kami bermain de­ngan tenang hari ini, biarpun tidak melakukan ba­nyak pergerakan atau hantaran.

“Leicester memiliki kualiti, namun selepas kami memperoleh gol ketiga, keadaan menjadi lebih mudah,” kata pengurus Liverpool itu, yang turut menyua­rakan rasa gembira dengan kejayaan pasukannya memenangi perlawanan pertama di tempat sendiri, musim ini.

Klopp juga memuji Lucas Leiva yang bermain baik di posisi bek tengah biarpun dia seorang pemain tengah.

“Perancangan asal, Lucas hanya memanaskan bangku simpanan tetapi selepas latihan, kami tahu dia boleh bermain baik. Kami perlu khidmatnya terutama kita akan berdepan Jamie Vardy, pemain yang sukar untuk ditangani,” ujar Klopp.

Sementara itu, Klopp turut merayu kepada penyokong Reds agar berhenti daripada menyo­rak namanya ketika perlawanan berlangsung bagi membolehkan pasukan kekal fokus dan tidak leka.

“Bila saya bercakap mengenai perkara ini, saya perlu mengatakannya (kepada penyokong)… tolong jangan nyanyi nama saya sebelum keputusan perlawanan ditentukan.

“Dengan pantas apabila Kop (penyokong Liverpool) mula menyanyi ‘Juergen Klopp’, mereka (pemain Leicester) bersendirian di hadapan (penjaga gol Liverpool) Simon Mig­nolet,” kata Klopp.