Perlawanan itu ibarat ulangan suku akhir tahun lalu apabila kedua-dua pasukan bertemu di peringkat sama yang menyaksikan skuad JDT mara ke separuh akhir dengan agregat 4-2.
Turun selaku juara bertahan skuad Harimau Selatan tampil dengan aksi garang di awal permainan dan berjaya meraih gol awal menerusi pemain import, Jorge Pareyra Diaz pada minit ke-21.
Pertemuan di Stadium Mongkok berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan sering berbalas serangan, namun gagal menjaringkan sebarang gol hingga penghujung permainan.
Ketika perlawanan hampir berpihak kepada Harimau Selatan, pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan menerusi Nikola Kamozec ketika masa kecederaan bagi membolehkan South China membawa bekalan satu gol untuk aksi timbal balas di Stadium Larkin yang akan berlangsung pada 20 September ini.
Sepanjang kempen Piala AFC, JDT berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini selain berjaya merekodkan tujuh kemenangan berturut-turut.
Terdahulu pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman Facebook JOHOR Southern Tigers menzahirkan perasaan gembiranya apabila pasukan itu berajaya melangkah ke saingan suku akhir Piala AFC dan akan menerima apa sahaja keputusan yang bakal diraih dalam pertemuan itu.
Secara realistiknya beliau memberitahu, saingan Piala AFC merupakan sesuatu yang berbeza dan adalah sesuatu yang sukar untuk menjuarainya apatah lagi untik mempertahankan piala berkenaan.
“Untuk perlawanan malam ini saya memang berharap untuk mendapat keputusan yang baik tetapi jika sebaliknya, tiada masalah kerana kita bercakap secara realistik kerana adalah cukup sukar untuk memenangi piala AFC dan mempertahankan piala tersebut adalah hampir mustahil.
“Tetapi seperti saya katakan, apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak.
“Jika hasilnya adalah baik, maka baik keputusannya. Jika ia sebaliknya, kita akan terus berusaha dan cuba lagi kerana kami sudah pun berada dalam pertandingan AFC pada tahun hadapan,” kata sebelum perlawanan.