Pasangan Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut menerima pakej penginapan selama tiga hari dua malam di hotel Parkroyal Kuala Lumpur bernilai RM40,000. Kesemua barisan pemain badminton negara yang beraksi di temasya Rio, bulan lalu bersama barisan jurulatih dan kepimpinan tertinggi BAM turut diraikan dalam satu majlis makan malam yang diadakan di Parkroyal, di sini.

Bagaimanapun, jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei tiada di dalam majlis tersebut kerana dia merupakan pemain tajaan Yonex.

Pengarah Urusan Victor, Datuk Alex Ong berkata, pihaknya sentiasa menghargai komitmen tinggi diberikan pemain selain menyokong penuh industri sukan yang mampu menjadi medium penyatuan rakyat Malaysia. “Kami berharap barisan pemain badminton negara khususnya beregu lelaki dan beregu campuran negara akan terus bekerja keras bagi menaikkan nama Malaysia di persada sukan antarabangsa,” katanya.