Bos AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes kembali menjadi perhatian di muka belakang kebanyakan akhbar tempatan terutama apabila dikatakan sudi menggalas tugas sebagai Presiden FAM.

Biarpun laporan berita terbaharu menyatakan Fernandes kurang berminat untuk mengetuai FAM namun nama dan potensi pemilik kelab Inggeris, Queens Park Rangers (QPR) itu sudah mula mendapat perhatian.

Malah Mat difahamkan dalam Kongres FAM esok mungkin ahli gabungan akan mengemukakan cadangan tarikh sebenar pemilihan pegawai FAM yang dipercepatkan dari tahun 2018 ke 2017.

Fernandes yang ketika ini disenarai oleh Forbes sebagai orang ke-45 daripada 50 individu terkaya di Malaysia dilihat sebagai calon sesuai kerana memiliki kewangan kukuh dan boleh menjadi calon utama sebagai Presiden FAM.

Dengan latar belakang sebagai seorang ahli perniagaan berjaya, Fernandes sudah tentu mampu membantu FAM memperkukuhkan badan induk itu menerusi cara tersendir; mungkin dengan menubuhkan satu syarikat di bawah FAM yang menjalankan tugas khusus menjana keuntungan buat persatuan tersebut.

Dalam dunia bola sepak juga, Fernandes bukan budak mentah kerana sudah memiliki kelab QPR sejak 2011 dan pengaruh yang dimiliki mungkin memudahkan FAM untuk mendapatkan kepakaran dalam bidang kejurulatihan dari luar dengan mudah andai dipilih menjadi Presiden badan induk bola sepak di Malaysia.

Mat percaya ahli gabungan FAM pasti mempunyai pandangan bernas untuk mencalonkan individu yang mampu menggalas suatu tanggung jawab besar.