Pemain berusia 23 tahun itu melakar kejutan dengan me­nundukkan pilihan kelapan, Sofie Holmboe Dahl dari Denmark 21-11, 16-21, 21-16 dalam perlawanan akhir perseorangan wanita.

Pernah memiliki ranking terbaik No. 34 dunia pada Ogos 2013, dia bagaimanapun me­ngalami kejatuhan prestasi yang teruk akibat kecederaan Achilles yang membelenggu sejak selama tiga tahun.

Soniia kembali ke pangkuan skuad kebangsan pada Mei lalu dengan menguatkan cabaran Piala Uber dan selepas itu, dia mula mempertingkatkan prestasi sebelum akhirnya bergelar juara di Belgium.

“Dia tidak begitu berkeyakinan sejak kembali ke gelanggang ekoran siri kecederaan yang dihadapi, jadi kemena­ngan ini benar-benar membantunya untuk pandang ke depan dan melangkah jauh.

“Saya percaya, kesungguhan Soniia yang telah membantunya kembali ke tahap terbaik. Saya harap, ini adalah permulaan kepada lebih banyak kejayaan untuk diraih,” kata jurulatih perseorangan wanita negara, Wong Tat Meng.

Cabaran Soniia selepas ini adalah Antarabangsa Poland yang akan berlangsung dari 22 hingga 25 September depan, di mana dia akan memulakan kempen dengan bertemu Dorotea Sutara dari Croatia di pusingan pertama.