Antoine Griezmann dan Fernando Torres pula masing-masing menyumbat dua gol untuk Atletico Madrid yang melonjak ke anak tangga keempat setelah meraih kemenangan ketiga dalam seminggu dengan membelasah Sporting Gijon 5-0.
Barca kini menyamakan kedudukan dengan Real Madrid di tempat teratas carta liga, tetapi Los Blancos memiliki kelebihan satu perlawanan di tangan menentang Espanyol di laman lawan tanpa kelibat Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale yang tercedera pada awal pagi esok.
Atletico bakal bertandang ke Barcelona pada Rabu ini.
“Kami bermula baik. Jika kami bermula perlahan, memikirkan yang kami amat memerlukan kemenangan, maka kami terpaksa bekerja lebih keras lagi,” kata bos Barca, Luis Enrique.
Messi, Suarez dan Neymar digandingkan bersama buat kali kedua musim ini dan, selepas membelasah Celtic 7-0 pada Rabu lalu, mereka sekali lagi menunjukkan tanpa belas kasihan merobek gawang Leganes yang beraksi secara bertahan dalam babak pertama permainan.
“Dari satu segi bermain dengan kelajuan yang tinggi memang sesuatu yang tidak selesa, tetapi dari sudut lain pula ia memberi kami kelebihan untuk mencipta ruang yang besar,” tambah Enrique.
Selepas Leganes bermula dengan cukup baik, Suarez mula mengorak langkah mempamerkan kehebatannya melakukan gerakan dari sayap kanan dan hantaran silang yang rendah kepada Messi begitu mudah disempurnakan bintang Argentina itu untuk gol pembukaan.
Untuk jaringan kedua Barca, kali ini Messi pula memainkan peranan apabila diberi ruang bergerak bebas di dalam kawasan Leganes dan berjaya melepasi dua pemain pertahanan lawan sebelum menolak bola ke Suarez yang mudah menyempurnakan tugasnya selaku penjaring gol.