Kekalahan itu nyata sukar diterima oleh penyokong Red Devils kerana mereka sebelum ini turut tumpas dalam perlawanan terakhir Liga Europa menentang Feyenoord, Khamis lalu (1-0), selain kalah 1-2 di tempat sendiri kepada Manchester City pada aksi terakhir Liga Perdana Inggeris pada 10 September.
“Yang pertama ketika menentang Manchester City dan kedua hadir dalam pertemuan dengan Watford. Anda boleh nampak kedua-dua jaringan lawan mempunyai persamaan yang tidak tidak masuk akal.
“Ketika menentang City, (Aleksandar) Kolarov berada dalam situasi sukar di penjuru padang dan pemain saya memberi ruang, bukannya mencabar kedudukan.
“Hari ini (menentang Watford) untuk kesalahan kedua, (Nordin) Amrabat menerima bola di sebelah kanan dan bek kiri kami (Shawn) berada 25 meter dari dia, bukannya lima meter.
“Pada jarak 20 atau 25 meter dari kotak penalti, anda perlu melompat dan mengejar tetapi itu tidak berlaku, sebaliknya dia hanya menunggu.
“Ini masalah taktikal dan juga mental. Segala-galanya nampak seperti tidak sempurna sejak beberapa minggu ini,” kata Mourinho.
Pengendali kelahiran Portugal itu menegaskan, dia sudah menyedari kelemahan United selepas mendapati pemainnya kurang bertindak balas terhadap arahan.
Malah, dia juga mendapati pertahanan kerap melakukan kesilapan mudah akibat tidak mendengar arahannya.
“Pada awal liga kami bermula baik dengan kejayaan menjuarai Perisai Komuniti kemudian tiga kemenangan berturut-turut dalam liga, saya fikir ia permulaan sempurna sebagai pengurus baharu di Manchester United.
“Namun adakah saya fikir pasukan saya sudah bersedia, sempurna dan tidak boleh dikalahkan? Tidak sama sekali. Saya sedar kami tidak sempurna dengan kebanyakan pemain gagal mempamer kualiti mereka selain membuat kesilapan sendiri.
“Masalah saya, adakah mereka mampu menerimanya pada waktu sukar. Sesetengah pemain begitu terkesan dengan tekanan yang dihadapi. Saya tahu apa kepakaran saya, memperbaiki pasukan dan individu. Saya perlu cuba hentikan kesilapan di bahagian pertahanan.
“Saya tahu saya ada tugas. Ini melibatkan aspek taktikal dan mental. Kami akan memperbaiki, tiada masalah,” katanya lagi.