Skuad Harimau Selatan mengharungi aksi mendebarkan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, namun jaringan Juan Martin Lucero dan Jorge Pereyra Díaz sudah cukup untuk memastikan kemaraan anak-anak buah Mario Gomez.

Biarpun South China cuba mencabar dengan merapatkan jurang pada waktu kecederaan tetapi jaringan Nikola Komazec hadir terlalu lewat dan tidak mampu menyekat langkah JDT.

Menanti juara Liga Super itu pada separuh akhir nanti adalah pemenang di antara wakil Si­ngapura, Tampines Rovers dan kelab India, JSW Bengaluru FC.

Kedua-dua pasukan yang terikat 1-1 dalam suku akhir pertama di Hong Kong, minggu lalu buntu untuk mencari gol pada babak pertama apabila terikat tanpa ja­ringan selama 45 minit.

Pemain tengah JDT, Hariss Harun hampir meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-13 namun sepakan guntingnya dalam kotak penalti ditepis luar penjaga gawang, Tsang Man Fai.

Pasukan pelawat turut mempunyai peluang mendapatkan gol menerusi Komazec tetapi rembatannnya tepat ke pangkuan penjaga gol.

Peluang terbaik JDT untuk membuka jaringan hadir pada minit ke-32 hasil sepakan deras pemain sayap, Azammuddin Akil namun percubaan dari kotak itu sekadar menggegarkan palang.

Bersambung babak kedua, Harimau Selatan dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-50 selepas Diaz dijatuhkan dalam kotak penalti, namun sepakan kapten, Safiq Rahim berjaya di­selamatkan Man Fai.

Gawang South China ­akhirnya bocor hasil jaringan Lucero yang bijak menyempurnakan hantaran Azammuddin pada minit ke-58, sebelum Diaz menggandakan kedudukan pada minit ke-87.