Malah Kim Swee turut mencabar mana-mana pemain dalam kancah Liga Malaysia yang tidak berpuas hati kerana tidak dipanggil agar membuktikan keupayaan masing-masing, bukan mencemburui pemain tersebut biarpun hanya beraksi dalam satu perlawanan bersama JDT II sahaja.

Menurut Kim Swee, dia tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi apabila memang­gil Darren sebaliknya lebih ter­arah kepada kepentingan untuk negara dalam pembentukan skuad kebangsaan.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, jika saya tidak memanggil dia dalam tempoh ini saya tidak akan mendapat peluang lagi.

“Untuk makluman, Darren telah bersama JDT II dalam tempoh empat, lima bulan dan dia hanya menunggu pasport Malaysia sahaja dan kini dia te­lah mendapat pasport itu.

“Dalam tempoh itu, kami telah mengikuti perkemba­ngannya dan dalam masa sama saya telah menghantar penolong jurulatih Brad Maloney untuk menyaksikan perlawanan terakhirnya iaitu ketika menentang Kuala Lumpur dalam Liga Perdana dan Darren bermain selama 45 minit, tempoh yang mencukupi untuk prestasinya dinilai,” katanya kepada pemberita ketika sesi latihan di Wisma FAM, di sini hari ini.

Darren, pemain kelahiran England yang memiliki kerak­yatan Malaysia kerana ayah­nya berasal dari Melaka telah meledak 22 gol sepanjang 122 penampilan bersama kelab lamanya Eastbourne.

Pemain berusia 25 tahun itu adalah antara 25 pemain yang melaporkan diri dalam kem latihan skuad kebangsaan hari ini untuk persiapan menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa, menentang Si­ngapura pada 7 Oktober di Stadium Nasional Singapura dan Afghanistan di Shah Alam empat hari kemudian.