Beraksi di hadapan 18,410 penyokong sendiri, Harimau Selatan mendapati mereka sukar merobohkan kubu kelab India itu walaupun menguasai perlawanan dan menyerang bertubi-tubi ter­utama pada babak pertama.

Setelah kembali menemui rentak, pasukan tuan rumah mengasak benteng pertahanan Bengaluru dan hampir memecah kebuntuan pada minit ke-27 menerusi tandukan Juan Martin Lucero namun ditampan keluar penjaga gawang Amrinder Singh.

Jorge Pereyra Diaz dan Aznie Taib masing-masing mempunyai peluang untuk menghasilkan gol pendahuluan namun percubaan mereka gagal menerjah gawang lawan hingga tamat separuh masa pertama.

Jaringan yang ditunggu-tunggu skuad bimbingan Mario Gomez itu akhirnya berhasil diperoleh tidak lama selepas rehat apabila sepakan sudut ketua pasukan Safiq Rahim ditanduk masuk oleh Diaz menewaskan Amrinder pada minit ke-52.

Kegembiraan penyokong Harimau Selatan tidak bertahan lama apabila pasukan kendalian Alberto Roca menyamakan kedudukan empat minit kemudian apabila bola rembatan deras Eugeneson Lyngdoh melayang melepasi jangkauan penjaga gawang Mohd. Izham Tarmizi.

Jaringan itu memaksa JDT menggandakan asakan namun usaha mereka hingga tamat perlawanan gagal memaksa Bengaluru melakukan kesilapan.

Keputusan itu menyaksikan Bengaluru kini memiliki kelebihan gol di tempat lawan dan sekali gus memaksa pengendali dari Argentina, Gomez untuk merancang strategi bagaimana untuk merobohkan kekebalan benteng Bengaluru.

Perlawanan separuh akhir kedua akan berlangsung di Stadium Sree Kanteerava pada 19 Oktober depan.