Klopp masih cicirkan Sakho

By
Updated: October 1, 2016

Pemain pertahanan Perancis berusia 26 tahun itu sebelum ini mendakwa di laman sosial Snapchat sebelum Li­verpool melakar kemenangan besar 5-1 ke atas Hull City pada minggu lalu bahawa majikannya menipu mengenai tahap kecergasannya.

Selepas itu Klopp telah bercakap kepada pasukannya secara keseluruhannya, dan de­ngan Sakho secara bersendirian untuk mengingatkan mereka mengenai tanggungjawab masing-masing.

Ditanya adakah Sakho perlu bekerja keras dan menutup mulut dalam usaha mendapatkan semula tempat dalam kesebelasan utama, Klopp berkata: “Ini bukan peraturan untuk Mamadou Sakho tetapi kepada setiap pemain. Bekerja keras dan buat yang terbaik. Itulah yang perlu dilakukan setiap pemain.

“Saya bercakap kepada pasu­kan dan Mama (Sakho), kami berbincang bersama. Dari pandangan saya, semua­nya telah selesai dan kami perlu meneruskan.”

Sakho telah tidak bersama skuad senior selama lima bulan selepas digantung bermula April lalu apabila Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA) memulakan siasatan mengenai dakwaan doping terhadapnya yang kemudiannya digugurkan.

Bagaimanapun Sakho bermain bersama skuad Bawah 23 Liverpool menentang Woflsburg pada Rabu lalu dan akan membuat penampilan bersama skuad tersebut esok yang akan bertemu Ipswich.

Liverpool berada dalam pres­tasi bagus pada awal musim ini apabila menjaringkan 14 gol ketika menang empat perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan.

Kemenangan besar ke atas Hull di Anfield membuktikan Liverpool kini berada dalam pres­tasi terbaik malah berdasarkan keputusan perlawanan ketika menumpaskan Arsenal dan Chelsea di tempat lawan dalam aksi liga sebelum ini menunjukkan skuad kendalian Klopp itu tidak perlu takut kepada mana-mana pasukan.

Bagaimanapun, perjalanan ke Swansea tidak semudah yang disangka kerana Liverpool tewas 3-1 dalam pertemuan terakhir mereka di Stadium Liberty.

Sementara itu, Swansea ketika ini berada di tempat keempat tercorot liga selepas me­ngutip satu mata daripada lima perlawanan dan pengendali The Swans, Francesco Guidolin menyedari jika pasukannya tumpas esok dia berkemungkinan kehilangan kerja.

“Mungkin boleh terjadi (pemecatan). Saya bercakap dengan pengerusi pada ming­gu lalu namun buat masa sekarang adalah penting untuk saya berusaha dengan pemain dan pasukan saya bersedia untuk menghadapi perlawanan seterusnya, memberi fokus dan tumpuan sepenuhnya,” katanya.