Selepas tewas 0-1 kepada Feyenoord dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A dua minggu lalu, skuad kendalian Jose Mourinho terpaksa bekerja keras menentang kelab dari Ukraine itu namun, selepas kemasukan Wayne Rooney, Red Devils berjaya meledak gol kemenangan mereka.
Gol United berpunca daripada rembatan kapten England itu sebelum Ibrahimovic menanduk masuk untuk meletakkan Red Devils berada satu mata di belakang pendahulu kumpulan Fenerbahce yang mengumpul empat mata.
Kedua-dua pasukan itu dijadualkan bertemu di Old Trafford pada 20 Oktober ini.
“Perlawanan ini sukar. Kami memiliki beberapa peluang pada babak pertama. Kami boleh menjaringkan gol dan mungkin mengubah situasi perlawanan namun kami tidak melakukannya.
“Pasukan lawan sentiasa tersusun dan sering berada di belakang bola namun pemain saya sudah bersedia untuk melakukan sesuatu bagi melancarkan serangan. Perlawanan ini sukar dan kami memerlukan kemenangan.
“Dalam satu minggu, kami mengalami tiga kekalahan. Kami juga mencatat tiga kemenangan dalam tempoh satu minggu. Namun, saya tidak tertekan dengan kekalahan tersebut dan saya juga tidak terlalu gembira dengan tiga kemenangan itu,” kata Mourinho.
Walaupun United berada di bawah prestasi sebenar namun kemenangan itu telah menunjukkan peningkatan mereka selepas berdepan tiga kekalahan sehingga merencatkan momentum pasukan pada awal musim.
Sementara itu, pengurus Zorya Luhansk, Yuriy Vernydub tetap berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan pemainnya meskipun terlepas peluang untuk mengutip mata daripada perlawanan tersebut.