Kelab London itu bersedia untuk berbelanja besar bagi mengukuhkan pasukan selepas memulakan musim dengan aksi tidak menentu, dan selain Griezmann, pertahanan Juventus, Leonardo Bonucci yang dianggarkan bernilai 60 juta pound (RM309.64 juta) turut menjadi sasaran utama.
Bagaimanapun, posisi serangan jelas bahagian utama yang perlu diperbaiki oleh Antonio Conte ketika ini. Biarpun membawa masuk Michy Batshuayi dari Marseille awal musim ini, namun pemain antarabangsa Belgium itu tampak tiada dalam perancangannya.
Rakan senegara Batshuayi, Eden Hazard juga masih tercari-cari rentak di bawah pengurus dari Itali itu, sekali gus meletakkan serangan antara posisi yang perlu diambil serius apabila pasaran perpindahan dibuka hujung tahun ini.
Griezmann dilihat sebagai calon ideal untuk mengisi jentera serangan Chelsea selepas bintang Perancis itu berjaya meletakkan dirinya sebagai antara penyerang terbaik di Eropah.
Pemain berusia 25 tahun itu menjaringkan 62 gol dalam 113 penampilan bersama kelab Sepanyol, Atletico dan prestasinya bersama Perancis dalam Euro 2016 meletakkannya sebagai calon untuk anugerah Ballon d’Or musim ini.
Griezmann memiliki klausa pelepasan bernilai 88 juta pound di Vicente Calderan dan akhbar Daily Telegraph mendakwa, Chelsea bersedia untuk membayar jumlah tersebut bagi membawanya ke Stamford Bridge dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun, Chelsea bukan satu-satunya pasukan yang berminat mendapatkan Griezmann, Manchester United juga mengintai khidmat penjaring terbanyak Euro 2016.