De Rossi muncul penyelamat tuan rumah apabila meledak gol penyamaan lapan minit sebelum tamat permainan selepas penyerang Sevilla, Vitolo meletakkan Sepanyol di depan pada minit ke-55 dengan menghukum kesilapan bodoh yang dilakukan penjaga gol berpengalaman, Gianluigi Buffon.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah ketika Itali menumpaskan Sepanyol 2-0 dalam peringkat kalah mati Kejohanan Eropah (Euro) Julai lalu, keputusan yang memusnahkan impian skuad La Roja untuk melakar rekod merangkul kejuaraan hatrik.
Bagaimanapun selepas tiga bulan berlalu, bekas juara dunia, Itali gagal mengulangi prestasi baik tersebut, malah Sepanyol menunjukkan penguasaan lebih baik, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam peringkat kelayakan Piala Dunia sejak 1993.
Stadium Juventus sunyi dalam sebahagian besar perlawanan selepas permainan ‘tiki-taka’ Sepanyol membinggungkan tuan rumah, memaksa Ventura, yang menggantikan Antonio Conte pada Ogos lalu melakukan beberapa perubahan pada rehat separuh masa.
“Kami mempunyai beberapa masalah untuk diatasi. Kami perlukan pendekatan berbeza dan mesti mengatasi kelemahan ini secepat mungkin.
“Saya boleh katakan perlawanan hari ini terbahagi dua. Pada babak pertama ia sangat teruk, namun kami melakukan beberapa perubahan untuk menampilkan aksi lebih baik dalam separuh masa kedua,” kata Ventura.
Buffon, 38, membuat kesilapan yang jarang dilakukan apabila meluru keluar dari kawasan untuk menghalang larian solo Vitolo. Namun, agakan penjaga gol Juventus itu tidak tepat apabila Vitolo berjaya meneruskan larian sebelum menolak bola ke gawang yang kosong.
Sepanyol juga berpeluang menambah jaringan pada minit ke-69 selepas Vitolo berjaya melepasi tiga pertahanan lawan tetapi rembatannya sedikit tersasar dari pintu gol dan terdahulu, pasukan pelawat hampir memperoleh gol kedua menerusi tandukan jarak dekat Gerard Pique tetapi bola ditangkap kemas oleh Buffon.
Itali yang tenggelam dalam perlawanan yang berat sebelah dan 77 peratus dikuasai oleh Sepanyol bagaimanapun cuba bangkit 10 minit menuju tamat permainan. Asakan saat akhir yang dilakukan tuan rumah memaksa skuad La Roja melakukan kesilapan apabila Sergio Ramos bertindak menjatuhkan Eder dalam kotak penalti.
Pengadil dari Jerman, Felix Brych menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh De Rossi untuk menceriakan ribuan penyokong di Turin.
Keputusan seri di antara Itali dan Sepanyol membolehkan Albania merampas kedudukan pendahulu Kumpulan G selepas menumpaskan Liechtenstein 2-0 di tempat lawan, manakala satu lagi perlawanan menyaksikan Macedonia tumpas 1-2 kepada Israel.