Itu langkah berani yang diambil Southgate apabila dia menyerahkan lilitan kapten kepada pemain tengah Liverpool, Jordan Henderson manakala meletakkan Eric Dier di bahagian tengah menggantikan bintang Manchester United, Rooney yang akan memulakan perlawanan di bangku simpanan.
Rooney, duduk bersama Southgate dalam sidang media berkata dia kini berada dalam tempoh sukar.
“Inilah bola sepak. Dia perlu memilih 23 pemain. Saya sudah beraksi selama 13 tahun tanpa henti untuk England serta memberikan segala-galanya malah sudah tiba masanya apabila anda bukan lagi pilihan utama di atas kertas pasukan. Ini peluang kepada pemain lain.
“Sudah pasti anda mahu berada di padang namun peranan saya sebagai kapten tidak akan mengubah keadaan. Saya akan memberi sokongan kepada pemain 100 peratus dan berharap kami boleh mencipta kemenangan,” kata Rooney.
Dalam pada itu, Southgate menekankan bahawa keputusan itu tidak mempunyai kaitan dengan prestasi semasa Rooney.
“Hal ini sangat jelas, kami sudah melihat Slovenia dan cara mereka bermain dari tengah padang dan sejak minggu lepas saya sudah ada bayangan pemain mana yang akan bermain di tengah dan apa yang diperlukan untuk perlawanan ini.
“Ini tidak mempunyai kaitan dengan persembahan Wayne pada Sabtu lalu (menentang Malta), malah kami sangat gembira dengan apa yang sudah dia lakukan,” kata Southgate.