Gol daripada pemain remaja Manchester City, Gabriel Jesus dan bintang Chelsea, Willian memastikan Brazil meraih kemenangan 2-0 ke atas Venezuela dalam perlawanan yang diganggu dengan masalah lampu limpah sehingga mengakibatkan Merida Estadio Metropolitano bergelap untuk tempoh yang agak panjang.

Ini adalah kemenangan keempat berturut-turut Brazil dalam kempen kelayakan, sekali gus membuka laluan kepada juara dunia lima kali itu merampas kedudukan teratas dengan 21 mata selepas 10 perlawanan.

Kemenangan itu juga merupakan bukti terbaharu bahawa Brazil kini mempamerkan kebangkitan sejak ber­ada di bawah kendalian jurulatih baharu Tite, yang mengambil alih tugas daripada Dunga yang dipecat pada Jun lalu selepas kegagalan skuad Selecao dalam Copa America Centenario.

Sejak aksi kelayakan bermula, ini kali pertama Brazil berada di kedudukan pendahulu dan pa­sukan itu kelihatan cukup mantap untuk mempertahankan rekod mereka yang tidak pernah gagal melayakkan diri ke Piala Dunia.

Ujian sebenar kebangkitan Brazil hanya akan hadir bulan depan apabila mereka bertemu seteru lama Argentina, yang tewas 0-1 kepada Paraguay di laman sendiri di Cardoba.

Jaringan cantik penyerang Derlis Gonzalez pada minit ke-18 sudah cukup untuk membantu Paraguay mengutip tiga mata penuh dan tuan rumah pula kelihatan pincang de­ngan ketiadaan Lionel Messi.

Argentina hanya mampu me­ngumpul dua daripada sembilan mata yang ditawarkan dalam tiga perlawanan terakhir, yang mana kesemua pertemuan diharungi tanpa bintang penyerang Barcelona, Messi.

Skuad La Albiceleste kelihatan berang sewaktu beraksi dalam babak kedua, setelah gol Angel Di Maria menerusi sepakan bebas tidak disahkan pengadil kerana berlaku kekasaran, sementara percubaan yang disempurnakan Gonzalo Higuain dan Sergio Aguero hampir menghasilkan jaringan buat Argentina.

Penjaga gol Paraguay, Justo Villar terlalu kebal untuk dibolosi, dan membantu menghadiahkan kemenangan berharga kepada pasukan pelawat yang kembali menghidupkan peluang mereka untuk melayakkan diri ke Piala Dunia.

Kemenangan tersebut membolehkan Paraguay hanya keciciran satu mata di belakang Argentina selepas 10 perlawanan. Argentina kini menghuni kedudukan kelima dengan 16 mata manakala Paraguay me­ngumpul 15 mata.