Kenyataan itu sekali gus menafikan dakwaan Timbalan Presiden Bola Sepak Melaka, Datuk Wira Yusoff Mahadi dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor, Rosman Mohd. Ibrahim bahawa KFA merupakan salah satu daripada 17 ahli gabungan yang menyatakan sokongan terhadap Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Aminuddin menjelaskan bahawa KFA berpendirian sesiapa sahaja yang layak boleh mengisi tempat yang akan dikosongkan oleh Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah itu.
Tambahnya, individu itu haruslah mempunyai niat untuk mengembalikan zaman kegemilangan dan menaikkan semula martabat bola sepak negara di peringkat antarabangsa.
Mengulas mengenai pertemuan 12 ahli gabungan FAM dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), beliau memberitahu bahawa tiada sebarang jemputan atau maklumat yang diterima pihak KFA untuk menyertai perjumpaan itu.
“Kami tidak dapat jemputan atau apa-apa maklumat. Bagi pihak KFA, kami berpendirian bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi Presiden FAM asalkan niatnya untuk mengembalikan zaman kegemilangan dan menaikkan semula bola sepak negara kita di peringkat antarabangsa.
“Buat masa sekarang kita belum mengkhususkan sesiapa (untuk dicalonkan). Tetapi calon yang dipilih itu mestilah orang yang ada minat dan mampu memimpin FAM ke arah lebih baik.
“Bukan bermaksud Presiden sebelum ini tidak bagus tetapi memandangkan situasi bola sepak negara kita ketika ini kurang menyerlah maka mungkin perlu sentuhan orang baharu dalam pengurusan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan 17 ahli gabungan FAM menyatakan sokongan terhadap TMJ untuk menerajui badan induk tersebut.
Perkara itu disahkan oleh Rosman yang memberitahu perjumpaan tertutup bersama Tunku Ismail sepatutnya dihadiri oleh 17 wakil ahli badan gabungan FAM namun lima daripadanya tidak dapat hadir iaitu KFA, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu dan Polis Diraja Malaysia.
Aminuddin menegaskan, beberapa perkara perlu diteliti sebaik mungkin sebelum memilih mana-mana calon sebagai Presiden FAM.
“Kita perlu lihat banyak perkara, bukan hanya dari satu sudut sahaja untuk memilih calon. Untuk memertabatkan kembali bola sepak negara, kita memerlukan kerjasama dan penglibatan semua pihak.
“Sekarang masih di peringkat awal dan belum lagi ada mana-mana calon yang muktamad. Cuma saya tegaskan di sini bahawa kami akan menyokong sesiapa sahaja individu yang berkelayakan dan ada niat untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan bola sepak negara,” ujarnya.