Rooney yang beraksi hambar dalam beberapa perlawanan baru-baru ini telah digugurkan daripada kesebelasan utama United dan England.

Pemain berusia 30 tahun itu telah menyebabkan timbulnya perdebatan hangat sama ada dia sepatutnya digunakan di bahagian tengah ataupun bermain sebagai penyerang, sementara ada juga pengkritik yang berpendapat Rooney tidak lagi layak bermain untuk kelab atau negara.

Selepas membelasah juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) tanpa kelibat Rooney, United tidak dapat mengekalkan prestasi itu apabila sekadar terikat de­ngan Stoke dan Mourinho mungkin akan memanggil semula penye­rang itu untuk perlawanan di Anfield pada Isnin (pagi Selasa waktu Malaysia) depan.

Pengalaman dan rekod Rooney dalam perlawanan penting adalah suatu perkara yang tidak boleh dipandang remeh apabila pemain itu juga berjaya menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Li­verpool di laman lawan pada musim lalu.

Jika Mourinho menyisihkan Rooney daripada kesebelasan utamanya untuk perlawanan itu nanti, bermakna status penyerang tersebut dengan kelab berkenaan mungkin berada dalam keadaan yang teruk apabila pemain lebih diutamakan.

Bekas pemenang Liga Juara-juara dan EPL bersama United, Dwight Yorke masih berasa yakin terhadap kemampuan dan kebolehan yang ada dalam diri Rooney berdasarkan rekod baiknya selama ini.

“Orang yang mengikuti perkembangan bola sepak mungkin mempunyai ingatan yang singkat. Dia (Rooney) hanya perlu mendapatkan kembali keyakinannya dan beraksi seperti seorang pemain yang kita sering lihat, iaitu penyerang yang selalu menjaringkan gol, pada masa sama mendapat pujian orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Liverpool telah memenangi empat perlawanan berturut-turut untuk melonjak ke tempat keempat liga, namun jurulatih mereka Jurgen Klopp masih belum berpuas hati.

“Walaupun anda bermain dengan bagus, anda perlu beraksi lebih baik daripada itu kerana pasukan di keliling anda hanya akan menjadi semakin kuat. Untuk kekal sebagai pencabar kejuaraan liga, pembangunan skuad adalah segala-galanya,” katanya.