Guardiola sebelum ini dilabel sebagai jurulatih Barcelona paling cemerlang selepas membantu gergasi bola sepak Sepanyol itu meraih 14 trofi sepanjang empat tahun di bawah bimbingannya dan kepulangannya di Nou Camp pasti penuh dengan emosi.

Ini adalah kali kedua Guardiola bertemu pasukan lamanya sebagai jurulatih kelab lain.

Tahun lalu dia membawa Bayern Munich berdepan Barca dan gergasi Jerman itu tewas 3-0 dalam separuh akhir Liga Juara-Juara.

Setakat ini, Guardiola berjaya membimbing City menerajui Liga Perdana Inggeris selepas lapan perlawanan, namun keputusan tiga pertemuan terakhir kurang memberangsangkan apabila seri 1-1 dengan Everton, kalah 0-2 kepada Tottenham dan seri 3-3 menentang Celtic.

Skuad The Citizens kini berkedudukan tangga kedua Kumpulan C dengan dua mata ditinggalkan Barcelona.

“Kalau anda tanya saya, apakah kami sudah sedia untuk memberi tentangan dalam kancah Eropah, maka jawapannya adalah tidak,” itu penjelasan Guardiola sebulan lalu ketika ditanya mengenai persiapan pasukannya.

Namun, menjelang pertemuan dengan Barcelona, pengendali kelahiran Sepanyol itu mengakui, dia tahu apa yang perlu dilakukan untuk berdepan bekas pasukannya.

“Kami ada baki empat perlawanan dan perlu menang dua daripadanya untuk mara ke peringkat seterusnya. Jadi, kami akan cuba memenangi semuanya.

“Kami akan bermain seperti biasa dan saya juga tahu cara kami patut bermain untuk meraih kemenangan di sana (Barcelona),” ujarnya lagi.

Sementara itu, pertahanan Barcelona, Javier Mascherano menggesa rakan-rakan sepasukan agar berwaspada dengan ancaman yang mampu dihadirkan oleh rakan senegaranya yang juga penyerang City, Sergio Aguero.

Walaupun pasukannya sendiri memiliki trio serangan ampuh yang diketuai Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar, namun Mascherano percaya, City dan Aguero tidak pernah memberi laluan mudah setiap kali mereka bertemu.

“Aguero antara pemain terbaik dunia dalam kotak penalti. Dia memiliki kualiti dan penyudah hebat.

“Saya menjangkakan pertemuan sengit, apatah lagi City juga telah menunjukkan banyak peningkatan sejak musim lalu.

“Kehadiran Guardiola pasti memberi impak kepada mereka, malah dia banyak mempengaruhi karier saya. Dia bertanggungjawab membawa saya ke Barcelona,” kata Mascherano.