Skuad Foxes menewaskan FC Copenhagen 1-0 awal pagi tadi menerusi gol tunggal Riyad Mahrez, menyaksikan mereka mencatat rekod kemenangan 100 peratus dalam Kumpulan G.

Bagaimanapun, skrip berlainan di saingan domestik apabila Leicester mencatatkan kekalahan empat dan hanya menang dua sepanjang lapan perlawanan pertama, dengan Raneiri berharap anak-anak buahnya membuang personaliti buruk apabila beraksi di Liga Perdana.

“Untuk di pentas Eropah, saya sangat berbangga. Sementara di satu bahagian lagi, iaitu Liga Perdana, saya cukup marah.

“Tetapi tidak menagapa, kerana sepanjang karier saya, perkara ini pernah berlaku. Sewaktu pertama kali anda pergi dan bermain di pentas yang lebih besar, anda akan kehilangan sesuatu apabila anda kembali ke saingan liga.

“Sebab anda telah menggunakan banyak tenaga dan mental di Liga Juara-Juara. Setelah anda pulang, pasti ada kekurangan. Ia normal.

“Tetapi, saya ingin mengubah suasana ini sekarang, kerana Liga Perdana sangat penting. Liga Perdana adalah keutamaan kami.

“Tetapi sudah tentu Liga Juara-Juara juga penting kerana dalam sebulan, ada tiga perlawanan, kami tidak tahu sama ada kami akan terkeluar atau kekal.

“Namun kami berada dalam kedudukan terbaik. Perjalanan kami terletak di tangan kami sendiri. Kami mahu berjuang di laluan ini,” ujar jurulatih kelahiran Itali itu di Stadium King Power.