Membuat penampilan pertama pada bulan ini selepas pulih daripada kecederaan pangkal paha, Messi membuka jaringan pada minit ke-17 dalam pertemuan Kumpulan C itu sebagai tanda menyambut kepulangan semula bekas Jurulatih Barca, Pep Guardiola ke Nou Camp.

 

City bertambah parah apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain susulan kesilapan penjaga golnya, Claudio Bravo yang juga bekas pemain Barca dibuang pada minit ke-53 kerana menggunakan tangan dalam usaha menghalang bola di luar kotak penalti.

Messi yang merupakan Pemain Terbaik Dunia Tahunan lima kali itu melengkapkan hatrik keduanya musim ini setelah menjaringkan gol pada minit ke-61 dan ke-69, sebelum penyerang kebangsaan Brazil, Neymar menambah derita City lagi di penghujung perlawanan.

“Kami lihat Messi bermain seperti kanak-kanak di taman permainan sekolah hari ini.

“Mana-mana pemain lain selalunya akan janggal (selepas pulih daripada kecederaan) tetapi jika kita harapkan sesuatu daripada Messi, ia akan berlaku.

“Tidak kira berapa lama dia diketepikan atau berapa banyak permainan dia terlepas, Messi masih boleh mendapatkan semula rentak bola sepak. Sesiapa yang pernah meragui kehebatan Messi, orang tersebut adalah naif.

“Orang yang bernasib baik dengan melihat bagaimana cara dia berlatih setiap hari sahaja yang akan tahu. Dia membantu dari segenap segi, tanpa rasa ragu,” kata Enrique.

Barcelona mendahului Manchester City dengan lima mata selepas tiga perlawanan dalam Kumpulan C.