Katanya, tahun depan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melaksanakan tanggungjawab besar terutama dengan penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2017 dan beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri dengan peruntukan tersebut.

“Banyak yang telah diumumkan tadi terutama untuk sukan dan tahun depan agenda kita amat banyak untuk anjur Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN. Pasti­nya tahun depan kita mahu menjadi tuan rumah yang cemerlang dengan meraih gelaran juara ke­seluruhan,” katanya.

Melalui peruntukan RM1.2 bilion tersebut sebanyak RM450 juta diperuntukkan untuk pe­nganjuran dua temasya besar di Kuala Lumpur tahun depan iaitu Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN manakala Program Podium mendapat peruntukan RM70 juta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sains Negara (ISN), Dr. Mohd. Khairi Zawi berkata peruntukan RM70 juta kepada Program Podium kurang RM5 juta berbanding jumlah sebelum ini dan pihaknya akan mengimbangi kekurangan itu menerusi langkah lebih terancang dan kreatif di dalam mengurus perbelanjaan.

“Peruntukan kali ini tidak tersasar jauh daripada peruntukan asal. Antara langkah-langkah yang boleh diambil (untuk mengimbangi pengurangan peruntukan) adalah seperti program pertandingan dan latihan luar negara dirancang jauh lebih awal untuk menjimatkan per­belanjaan.

“Kedua, Program Podium akan menetapkan kriteria sebagai garis panduan dalam menilai kemasukan dan penyingkiran atlet daripada program itu. Hanya atlet yang mencapai kriteria ditetapkan dan berpotensi memena­ngi pingat serta berada dalam kelompok ranking terbaik dunia kekal dalam program tersebut,” katanya.