Biarpun keputusan seri sudah memadai untuk mengembalikan anak-anak buah Pep Guardiola ke puncak liga, namun mereka gagal mengukuhkan kedudukan sebaliknya terpaksa berkongsi 20 mata bersama dua lagi pasukan iaitu Arsenal dan Liverpool.

City hanya menerajui liga menerusi perbezaan gol dan keputusan kurang memberangsangkan dalam lima perlawanan yang diharungi hanya menyukarkan keadaan skuad The Citizens sebelum bertandang ke Old Trafford untuk menentang musuh sebandar, Manchester United pada saingan Piala Liga, Rabu ini.

Insiden dibelasah 4-0 oleh Barcelona dalam saingan Liga Juara-Juara, Rabu lalu nyata belum mampu dipadam oleh City, malah penyokong tuan rumah dikejutkan apabila gawang mereka dibolosi pada minit ke-27 menerusi jaringan Nathan Redmond.

Redmond merembat kencang bola hantaran John Stone, sekali gus membuatkan skuad The Citizens tergamam seketika.

Tersentak dengan jaringan pembukaan lawan, City cuba mengatur serangan balas, namun gagal me­nembusi pertahanan Southampton sehingga tamat separuh masa pertama.

Bermula babak kedua menyaksikan City terus mempamer corak permainan menyerang dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang kaki kiri Kelechi Iheanacho sewaktu minit ke-55 selepas memanfaatkan hantaran Leroy Sane.

City terus berusaha keras untuk mendapatkan tiga mata penuh perlawanan namun usaha mereka gagal apabila setiap percubaan tepat berjaya dipatahkan oleh pertahanan Southampton.

Skuad The Citizens masih gagal mencari kemenangan pertama sejak mengalahkan Swansea City 3-1 pada saingan Liga Perdana, 24 September lalu.

Sejak kemenangan di Wales, anak- buah Guardiola seri 3-3 dengan Celtic dalam Liga Juara-Juara (28 September), tewas 0-2 kepada Tottenham di tempat sendiri (2 Oktober), terikat 1-1 de­ngan Everton (15 Oktober), sebelum dibelasah Barcelona.