Pengendalinya, Mohd. Nafuzi Zain berkata, ini adalah peluang terbaik anak-anak buahnya membuktikan kemampuan sebagai hadiah buat peminat sukan bola sepak negeri di sam­ping menebus kehampaan skuad abang, Terengganu dan Terengganu FC II (TFC II) yang kempunan menempah tiket ke final Piala Malaysia.

“Walaupun agregat 1-1 dengan defisit gol tetapi kita tidak mahu terlalu selesa kerana fokus utama adalah untuk menang, kerana bermain dengan kedudukan 0-0 amat sukar sepanjang 90 minit perlawanan.

“Strategi pasukan adalah untuk tidak melepaskan gol sebaliknya kita cuba menjaringkan gol bagi menjamin kemenangan,” katanya dalam sidang akhbar praperlawanan di sini , hari ini.

Menurut Mohd. Nafuzi, ke­lebihan beraksi di gelanggang sendiri mahu dimanfaatkan sebaik mungkin walaupun keupayaan pasukan mungkin diuji dengan ketiadaan tonggak seperti Mohd. Zarulizwan Mazlan, Muhammad Akram Asidi dan Muhammad Zulhusni Azizan ekoran kecederaan.

Katanya, sekiranya pemain yang cedera masih tidak cergas esok maka pasukan telah mengambil kira cadangan untuk menggunakan khidmat Safawi Rasid berikutan jentera sera­ngan yang dilihat tumpul ketika ini berbanding posisi tengah dan pertahanan.

Sementara itu, jurulatih Kelantan, Mohd. Hashim Mustapha berharap, kemunculan tonggak pertahanan berusia 21 tahun, Mohamad Faris Shah Mohd. Rosli mampu memberi magis kepada pasukan.

“Alhamdulillah, esok kita dapat menggunakan khidmat Farish Shah kerana sudah sembilan game dia tidak bersama dengan pasukan dalam saingan Piala Presiden ini,” katanya.