Tahun lalu, Norazlan atau lebih mesra dengan panggilan Wak Lan muncul wira Red Giants apabila memastikan gawang pasukannya tidak dibolosi, sekali gus membawa Selangor merangkul Piala Malaysia buat kali ke-33 dengan menang 2-0 ke atas Kedah.
Memasuki musim baharu 2016, kedudukan Norazlan sedikit ‘terancam’ apabila pengurusan Selangor membawa masuk penjaga gol handalan Pahang, Khairul Azhan, orang yang bertanggungjawab menjaga gawang Tok Gajah dalam dua final Piala Malaysia – 2014 serta 2013, dan pasukannya muncul juara dalam kedua-dua perlawanan itu.
Menjelang final di Stadium Shah Alam, peluang Norazlan dan Khairul Azhan, yang dikenali sebagai Yan dilihat seimbang kerana mereka sering digilirkan sepanjang kempen Liga Malaysia (Liga M) berlangsung.
Sepanjang sesi latihan, kedua-dua penjaga gol ini kelihatan tenang dan berlatih gigih, namun jauh di sudut hati mereka, bahang persaingan amat membara.
Norazlan mahu dirinya dipilih untuk perlawanan akhir, namun Khairul Azhan juga mahukan perkara yang sama.
“Persaingan saya dan Yan memang sangat sengit, tetapi itu tidak bermakna ada perbalahan di antara kami…Tidak sama sekali. Kami bersaing secara sihat dan mahu memikat jurulatih atas keupayaan sendiri.
“Baik saya dan Yan, masing-masing sudah buktikan kemampuan beraksi di pentas besar.
“Kami juga telah menunjukkan keupayaan sepanjang liga musim ini, sekarang terpulang kepada jurulatih siapa yang difikirkan layak untuk menggalas tugas menjaga gawang Selangor dalam final nanti.
“Apa yang boleh saya lakukan adalah memberikan aksi terbaik pada sesi latihan terakhir menjelang perlawanan itu.
“Sudah tentu, saya mahu berada dalam kesebelasan utama pasukan, namun kalau itu tidak berlaku saya tidak berkecil hati.
“Pada saya, apa yang penting adalah pasukan dan bukan individu.
“Sama ada saya atau Yan diturunkan, saya percaya matlamat kami sama, tidak mahu gawang dibolosi.
“Bagi diri saya, persiapan untuk diturunkan Ahad ini adalah 80 peratus, semua dalam keadaan terbaik,” kata Norazlan.
Penjaga gol berusia 31 tahun itu juga menyeru penyokong Selangor supaya tidak membiarkan insiden tahun lalu berulang apabila penyokong Lang Merah lebih ramai berbanding Red Giants sedangkan Stadium Shah Alam adalah gelanggang keramat skuad Merah Kuning.
“Ayuh penyokong Red Giants penuhkan stadium dan meriahkan pentas final kali ini.
“Jangan ulangi peristiwa tahun lalu, yang mana penyokong Kedah lebih ramai daripada kita,” ujarnya lagi.