Kali pertama Andik membantu Selangor memenangi trofi kejohanan tersebut adalah pada tahun lalu setelah menumpaskan lawan yang sama dan selain daripada pemain berusia 24 tahun itu dua lagi bekas pemain Red Giants dari Indonesia iaitu Bambang Pamungkas serta Elie Aiboy juga pernah menjuarai Piala Malaysia pada 2005.
“Syukur Alhamdulillah Selangor berjaya masuk final Piala Malaysia dan ini merupakan final kedua saya di Malaysia dan sudah pastinya saya berasa gembira.
“Saya berusaha untuk memenangi kejuaraan ini. Itu sudah pasti. Apa yang penting adalah saya mahu membawa pulang Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut.
“Dulu Bambang dan Elie pernah memenangi Piala Malaysia sekali sahaja dan itu membuatkan saya ingin mencipta sejarah dengan mencipta rekod menjadi pemain pertama dari Indonesia menjuarai trofi ini buat kali kedua.
“Insya-Allah saya mampu melakukannya. Jika semua pemain berusaha keras seperti ketika menentang Terengganu FC II (TFC II) dalam separuh akhir tidak mustahil untuk kami memenanginya,” kata Andik kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, jika tidak dipilih sebagai kapten Red Giants oleh jurulatih Selangor, K. Gunalan untuk perlawanan akhir nanti Andik berkata dia tidak akan ambil hati sebaliknya berjanji tetap memberi komitmen 100 peratus kepada pasukannya.
“Jika tidak dipilih sebagai kapten saya tetap ada tanggungjawab besar terhadap pasukan,” katanya lagi.
Andik diberi lilitan kapten Selangor ketika membantu pasukannya menumpaskan TFC II 5-1 secara agregat dalam peringkat separuh akhir.
Sementara itu, Gunalan berkata mempertahankan kejuaraan lebih sukar daripada memburu kemenangan kerana Selangor turun selaku juara bertahan lantas membuatkan dirinya berada dalam tekanan namun dia tetap yakin pemain Red Giants mampu memastikan Piala Malaysia kekal menjadi milik mereka.
“Saya memang berasa tekanan kerana kami perlu mempertahankan piala ini. Kami perlu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lalu. Mempertahankan trofi bukan perkara mudah untuk dilakukan namun jika setiap pemain tahu peranan masing-masing saya fikir kami boleh melakukannya,” katanya.