Bekas pemain kebangsaan New Zealand, Smeltz dan pemain te­ngah dari Kosovo, Krasniqi dijangka mengisi kesebelasan utama Lang Merah yang akan berusaha membalas dendam ke atas Selangor dalam perlawanan akhir Piala Malaysia esok bersama-sama penyerang dari Brazil, Thiago Augusto Fernandes dan Bang Seung Hwan dari Korea Selatan.

Menurut Shane, walaupun hanya bersama pasukan itu pada pertengahan musim Liga Super namun dia berhak berasa bangga kerana membantu Kedah ke perlawanan akhir pertandingan pa­ling tua di Malaysia itu.

“Saya cepat serasi dengan pemain-pemain muda Kedah dan mengharapkan semua pemain Kedah dapat melakukan kejutan dengan menewaskan Selangor nanti.

“Saya akan bermain bersungguh-sungguh dalam perlawanan akhir itu untuk tidak menghampakan harapan penyokong Kedah yang mahu melihat pasukan ini muncul juara, walaupun saya mengakui Selangor bukan sebuah pasukan yang mudah ditewaskan,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini sebelum berlepas ke Su­bang semalam.

Liridon, 24, yang digelar Mat Don oleh penyokong Kedah me­ngakui tidak sabar beraksi dalam perlawanan akhir itu.

“Saya cukup gembira dengan kejayaan Kedah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia kerana saya ingin merangkul piala berprestij itu pada tahun ini selepas muncul juara Liga Perdana tahun lalu,” katanya, yang berjanji untuk menampilkan permainan terbaiknya malam esok.