Bagi Gunalan, nasib tidak menyebelahi Selangor untuk mempertahankan trofi yang dimenangi pada musim lepas sehingga memberi peluang kepada Kedah untuk ‘membalas dendam’ sekali gus menjulang trofi Piala Malaysia untuk kali kelima dalam sejarah pasukan itu.
“Secara jujur, saya melihat barisan pemain memberikan persembahan 100 peratus dan bekerja keras seawal minit pertama hingga tamat masa tambahan. Cuma, kita tidak bernasib baik kerana ditewaskan menerusi sepakan penalti.
“Ini adalah final impian kerana kedua-dua pasukan mempamerkan permainan sengit. Kami mempunyai beberapa peluang pada separuh masa kedua untuk menjaringkan lebih daripada satu gol tetapi gagal,” katanya selepas perlawanan.
“Apabila penjaga gol, Khairul (Azhan) menyelamatkan sepakan pertama Kedah, perasaan bahawa kami bakal mempertahankan piala semakin tinggi. Namun, saya akur takdir tidak menyebelahi kami kali ini.
“Kami telah berlatih sepakan penalti dalam sesi latihan terakhir tetapi tekanan dalam perlawanan sebenar di hadapan puluhan ribu penyokong adalah situasi berbeza,” katanya lagi.
Sementara itu ketua pasukan Selangor, Andik Vermansah pula melahirkan kekecewaan di atas kegagalan menjayakan Misi 34.
“Saya mengucapkan taniah kepada Kedah dan sebagai kapten saya mewakili anggota pasukan yang lain memohon jutaan maaf daripada penyokong Selangor atas kegagalan mempertahankan Piala Malaysia,” katanya.