Felda United layak ke Piala AFC bersama-sama Johor Darul Ta’zim (JDT) hasil kejayaannya muncul naib juara Liga Super musim ini. Mereka juga akan bersaing dalam Piala FA dan Piala Malaysia sekali gus untuk kali pertamanya kelab itu akan menghadapi jadual padat selain perlu menyediakan pasukan lebih berkualiti.
Isa berkata, Felda perlu berjimat cermat dalam kos penyediaan pasukan memandangkan keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan tetapi berharap skuad bimbingan Azmi Mohamed itu mampu mengekalkan prestasi baik seperti pada musim 2016.
“Takkan hendak belanja besar lagi. Tiada lagi musim seumpama itu sebab kami hendak berjimat. Kalau pasukan dapat kekalkan prestasi baik pun tetap satu kejayaan.
“Musim ini usaha kami tidak berjaya namun tidak gagal sepenuhnya. Naib juara Liga Super pun satu kejayaan besar bagi kami apatah lagi dapat mewakili negara ke Piala AFC (dengan pencapaian itu) amat dihargai,” katanya dalam sidang akhbar Piala Pengerusi Felda, Liga Felda 2016 di Menara Felda di sini hari ini.
Sementara itu, Piala Pengerusi Felda edisi ketiga dengan hadiah juara RM30,000 bakal direbut antara dua muka baharu, Wilayah Segamat dengan Wilayah Terengganu di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka Sabtu ini.
Kapten Wilayah Segamat, Mohamad Fahian Roslan menjanjikan pasukannya akan berusaha kuat untuk meraih kemenangan setelah mereka kempunan pada musim 2014-15 apabila kalah menerusi penalti penentuan 4-2 kepada Wilayah Jengka selepas terikat 2-2 dalam perlawanan sebenar.
“Ketika itu saya menjaringkan dua gol tetapi gagal menyempurnakan penalti itu. Kali ini saya mahu menebusnya dan kami dalam keadaan bersedia lebih 100 peratus,” katanya yang mendahului carta penjaring terbanyak liga dengan lapan gol.
Kapten Wilayah Terengganu, Syed Ridzuan Syed Abdullah pula berkata, pasukannya melakukan persiapan untuk perlawanan itu dengan cuba menyesuaikan diri di padang tiruan seperti di Jengka dengan berlatih dan mengadakan persahabatan persahabatan di Gong Badak.