Naib Presiden Kafa, Datuk Rosmadi Ismail berkata tanpa Annuar pihaknya sukar untuk mendapatkan dana sekurang-kurangnya RM15 juta setahun untuk skuad The Red Warriors beraksi di peringkat yang kompetitif musim depan.
Beliau berkata, Ahli Parlimen Ketereh itu mempunyai kredibiliti dan kreativiti untuk menarik penaja di samping menjadikan bola sepak sebagai sebuah industri seperti yang dilakukannya kepada pasukan ini sejak tahun 2008 dengan mengeluarkan pelbagai jenis barangan cenderamata serta produk atas nama The Red Warriors.
“Kalau hendak menyertai (Liga M) kena ada jaminan daripada penaja. Dengan kredibiliti dan pengalaman Annuar mempunyai peluang lebih baik untuk mendapatkan tajaan.
“Kami masih memerlukan beliau (Annuar) dan setakat ini saya masih belum nampak pengganti sesuai untuk menerajui kerusi No.1 Kafa itu. Kami bekerja secara berkumpulan, kalau retak, akan menghadapi masalah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada Selasa lalu, Annuar mengumumkan melepaskan jawatan Presiden Kafa berkuat kuasa serta merta.
Surat peletakan jawatannya telah dihantar kepada Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md. Noor dan salinannya turut dimuat naik ke dalam akaun Facebook rasmi beliau.
Bagaimanapun, mesyuarat tergempar Exco Kafa semalam menolak surat peletakan jawatan Annuar yang dihantar pada 8 November lalu.
Timbalan Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, Kafa masih memerlukan khidmat Annuar sebagai presiden untuk memperkasakan bola sepak Kelantan.
Sementara itu, Rosmadi berkata, mesyuarat penuh Exco Kafa yang dijangka diadakan minggu depan akan membincangkan secara menyeluruh mengenai perkara itu.