Bagaimanapun, kecederaan yang dialami Khuzaimi itu tidak memberi kebimbangan kepada Kim Swee kerana dia telah mempunyai perancangan tersendiri sekiranya terpaksa menghadapi situasi seperti ini dalam pasukannya.
“Ya, saya difahamkan dia mengalami kecederaan hamstring dan saya perlu teliti dahulu tahap kecederaan yang dialaminya. Seperti anda semua tahu apa yang saya katakan sebelum ini iaitu saya ada senarai 40 pemain.
“Ada kemungkinan saya akan panggil pemain lain tetapi saya perlu berbincang dahulu dengan barisan kejurulatihan dan melihat siapa yang ada jika harus dipanggil.
“Ketika ini sudah pasti hanya Nazirul Naim (Che Hashim) sahaja yang tinggal di posisi pertahanan kiri tetapi kita juga boleh menggunakan Ronny Harun, Matthew Davies dan Rizal Ghazali untuk mengisi posisi itu.
“Sudah tentu juga beberapa pemain B-22 menarik minat saya seperti Adam (Nor Azlin) dan saya harap jika perlu melakukan pertukaran, pemain akan datang daripada skuad B-22,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam perlawanan itu, Harimau Malaysia terpaksa bangkit dua kali sebelum berjaya melakar kemenangan tipis 4-3 ke atas skuad B-22 negara.
Tiga gol skuad kendalian Frank Bernhardt dijaringkan oleh Adam seawal minit kelapan, Syafiq Ahmad minit ke-29 dan Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew minit ke-78.
Sementara itu, gol Harimau Malaysia diperoleh menerusi Amri Yahyah pada minit ke-23, Shahrom Abdul Kalam dan Syazwan Zainon pada minit terakhir babak pertama serta gol kemenangan dijaringkan oleh Zaquan Adha Abd. Razak lima minit sebelum babak kedua berakhir.
Mengulas mengenai persembahan anak didiknya, Kim Swee jelas tidak berpuas hati dengan persembahan mereka, bermakna dia mempunyai banyak kerja pembaikan untuk dilakukan sebelum pasukannya diuji sekali lagi dalam persahabatan menentang Papua New Guinea di Stadium Shah Alam, Isnin ini.
Perlawanan itu adalah ujian terakhir untuk skuad negara sebelum memulakan kempen Piala AFF di Myanmar minggu depan.
“Satu perlawanan yang cukup baik untuk pasukan kita terutama saya dapat memberi setiap pemain bermain dalam tempoh 45 minit sekurang-kurangnya dengan cuaca tidak begitu baik dan padang yang agak lembut. Pasukan B-22 bermain baik dan memberi tentangan sengit.
“Ini memberi saya sedikit gambaran mengenai apa yang perlu kita lakukan lagi sebelum kita bermain dengan Papua New Guinea,” jelasnya.
Tambah Kim Swee lagi kemenangan besar Iran 8-1 ke atas Papua New Guinea dalam perlawanan persahabatan di Shah Alam semalam bukan ukuran untuk pasukan negara mengambil mudah lawan mereka dari Pasifik itu pada Isnin depan.