Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu sebelum ini memasang impian untuk bergelar beregu No. 1 dunia pada penghujung tahun ini, bagaimanapun menerusi kejayaan mereka dalam Terbuka Denmark pada 23 Oktober lalu telah melonjakkan gandingan tersebut ke persada ran­king.

Dalam ranking terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini, V Shem-Wee Kiong merampas kedudukan jaguh dari Korea Selatan susulan persaraan Lee Yong Dae, yang bergandingan bersama Yoo Yeon di pentas antarabangsa.

Ini kali pertama beregu negara menghuni temat teratas selepas kali terakhir Malaysia mempu­nyai beregu No. 1 dunia menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong sejak 2007.

“Saya sangat gembira dengan ranking terbaharu ini. Bagi saya cabaran tahun ini dalam Siri Super Dunia Premier Terbuka China (15-20 November), Siri Super Dunia Terbuka Hong Kong (22-27 November) dan Siri Super Dunia Akhir di Dubai (14-18 Disember) akan menjadi lain.

“Sudah pasti kami menjadi sasaran utama untuk pihak lawan tumbangkan. Mereka akan membuat persediaan awal dengan mengkaji gaya permainan kami.

“Kalau boleh saya mahu te­rus konsisten dan mengekalkan gelaran ini semampu yang boleh,” kata V Shem ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

V Shem dan Wee Kiong me­ngumpul 71,297 mata, manakala tempat kedua Chai Biao-Hong Wei dari China dengan 70,220 mata, diikuti gandingan Denmark Mathias Boe-Carsten Mogensen (67,534 mata) ketiga.

Dalam pada itu, jurulatih mereka Jeremy Gan berkata dia berharap status beregu negara itu akan menaikkan semangat mereka untuk memenuhi sasaran memenangi sekurang-kurangnya satu daripada tiga kejohanan terakhir musim ini.

“Kedudukan No. 1 dunia ini sangat bagus sebab membantu menaikkan motivasi mereka. Saya harap mereka akan membawa pulang sekurang-kurang­nya satu gelaran sebelum tirai 2016 ditutup,” katanya.